Kerjasama yang terjalin antara seorang artis Singapura dengan sebuah firma seni bina telah membuahkan hasil apabila mereka berjaya memenangi pertandingan reka bentuk bagi Bukit Merah Town Centre.
Idea mereka mungkin akan digunakan dalam rancangan transformasi kawasan tersebut oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).
Reka bentuk itu adalah hasil kerjasama artis visual, Encik Toby ‘Tobyato’ Tan, dan OWAA Architects, yang mendapat inspirasi daripada pemandangan berbukit di kawasan tersebut serta kisah rakyat tentang bagaimana Bukit Merah mendapat namanya.
Ini merupakan kali pertama HDB menganjurkan pertandingan untuk mendapatkan idea reka bentuk bagi penambahbaikan sesebuah pusat bandar, lapor The Straits Times (ST).
Pertandingan yang dianjurkan dengan kerjasama Institut Seni Bina Singapura (SIA) itu dilancarkan pada Mei, dan mengundang penyertaan rekaan yang mencerminkan sejarah dan warisan Bukit Merah, bertemakan cerita rakyat, Singapura Dilanggar Todak.
Cerita ini mengisahkan kebijaksanaan seorang budak lelaki, Hang Nadim, dalam menghentikan serangan ikan todak di perairan Singapura. Namun, perasaan cemburu sebilangan golongan pembesar akhirnya menyebabkan kematiannya, hingga darahnya mengalir dan menjadikan tanah Bukit Merah berwarna merah.
HDB mengumumkan pada 17 November bahawa rekaan pasukan pemenang telah mendapat hampir separuh daripada 2,000 undian orang awam, dengan lebih 70 peratus daripadanya datang daripada penduduk Bukit Merah dan Queenstown.
Daripada 61 penyertaan, tiga rekaan telah disenarai pendek oleh panel terdiri daripada wakil HDB, SIA dan pertubuhan akar umbi, sebelum diputuskan melalui undian orang awam.
Rekaan oleh Encik Tan dan OWAA Architects itu merangkumi sebuah pusat aktiviti, ruang untuk pelbagai kemudahan serta elemen-elemen yang menggalakkan kemesraan di kalangan penduduk.
Pasukan pemenang akan menerima ganjaran $15,000.
Pengasas bersama OWAA Architects, Encik Lee Wah Fong, berkongsi bahawa rekaan mereka diinspirasikan daripada bukit bukau yang kurang dikenali di sekitar Bukit Merah seperti Sugar Loaf Hill dan Queen’s Own Hill.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif HDB (Hartanah), Encik Thomas Seow, berkata pertandingan itu bertujuan mengetengahkan kreativiti seni bina warga tempatan dan membuka peluang kepada penduduk membentuk identiti kawasan kejiranan mereka secara aktif.
Inisiatif penambahbaikan ini adalah sebahagian daripada program Remaking Our Heartland (ROH) HDB yang bertujuan memperbaharui kawasan perumahan lama bagi menjadikan kawasan kejiranan lebih mampan dan ceria.
Pada September 2023, HDB menyatakan bahawa pelan itu akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg