PUNCA utama dua gangguan sistem teknologi maklumat (IT) di institusi penjagaan kesihatan awam baru-baru ini adalah akibat kegagalan peranti perkakasan di pusat-pusat data.
Berdasarkan siasatan setakat ini, tidak ada tanda-tanda kompromi keselamatan kepada sistem yang terjejas.
Demikian yang didedahkan oleh Menteri Negara Kanan (Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan), Dr Janil Puthucheary, di Parlimen semalam, di mana beliau menggariskan apa yang diketahui sejauh ini.
Beliau menyatakan bahawa Kementerian Kesihatan (MOH) sedang menyiasat kejadian-kejadian tersebut.
Prasarana IT penjagaan kesihatan awam ditempatkan di lebih daripada satu pusat data untuk meningkatkan daya tahan dan mencegah pembaziran.
Dalam infrastruktur ini, terdapat beberapa "nodus" (nodes) iaitu peranti perkakasan yang beroperasi seiring supaya jika satu gagal, beban trafik data itu boleh diuruskan oleh "nodus" lain.
Ini untuk memastikan bahawa operasi kekal tanpa gangguan, dan sistem ini secara amnya telah berfungsi dengan baik sehingga gangguan baru-baru ini, kata Dr Janil.
Pada 25 Ogos, salah satu "nodus" itu telah gagal dan ia berlaku lagi pada 26 Ogos, apabila satu lagi "nodus" turut gagal.
Namun demikian, sistem dan perkhidmatan terus berfungsi.
Pada 27 Ogos, para jurutera cuba untuk memulihkan kedua-dua "nodus" yang gagal, tetapi gagal dalam operasi mereka dan ia telah menyebabkan gangguan pada hari itu.
Gangguan pada 5 September itu disebabkan oleh kegagalan serentak dua "nodus" lagi.
Perkakasan yang terlibat juga digunakan di bahagian lain dalam sistem pemerintah, tetapi dalam jumlah yang agak terhad, kata Dr Janil.
Pemerintah sedang bekerjasama dengan pelbagai agensi yang terlibat dalam sektor teknologi awam, agensi keselamatan siber, Agensi Teknologi Pemerintah (GovTECH) dan lain-lain untuk berkongsi maklumat.
Mereka juga sedang mengkaji untuk mengimbas pelbagai infrastruktur untuk mengesan kelemahan yang berpotensi.
Gangguan pada 27 Ogos itu menjejas 26 permohonan IT termasuk rekod perubatan elektronik, janji temu, sistem farmasi dan makmal.
Sebanyak 17 institusi jagaan kesihatan awam, termasuk hospital penjagaan sakit tenat, hospital masyarakat, klinik pakar pesakit luar dan semua poliklinik, terjejas.
Pada 5 September, satu lagi gangguan menjejas lapan institusi penjagaan kesihatan awam dan dua daripada tiga kumpulan poliklinik.
Masa untuk memulihkan sistem itu lebih lama, justeru operasi dan perkhidmatan telah beralih kepada prasarana pelapis mereka, kata Dr Janil.
Kedua-dua insiden itu telah memberi kesan yang ketara ke atas operasi dan kakitangan terpaksa bekerja lebih, pesakit mengalami masa menunggu yang lebih lama sehingga satu jam di institusi yang terjejas, dan ada juga yang terpaksa menjadualkan janji temu mereka semula.
Dr Janil menyatakan bahawa ia akan mengambil masa yang lebih lama untuk memulihkan operasi dan keputusan telah diambil untuk menukar operasi kepada sistem sokongan dan punca mengapa kedua-dua "nodus" itu gagal masih dalam siasatan.
Beliau juga menambah bahawa pakar keselamatan siber sedang memantau rangkaian dan sistem mereka untuk ancaman dalam rangkaian penjagaan kesihatan awam Singapura dan berdasarkan penyiasatan setakat ini, tiada tanda-tanda kompromi terhadap sistem yang terjejas.
"Gangguan seperti ini boleh berlaku lagi pada masa akan datang, dan kita terus mempunyai sistem sokongan yang sedia ada, prosedur masa berhenti dan proses manual dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan sistem penjagaan kesihatan awam kita yang memastikan pesakit kita selamat dan perkhidmatan berlangsung seperti biasa," kata Dr Janil.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg