Topik diikuti
Pergi ke BHkuGangguan sistem di institusi kesihatan, pesakit dijangka tunggu lebih lama
Gangguan sistem di institusi kesihatan, pesakit dijangka tunggu lebih lama
Pelawat dan pesakit dinasihatkan pada 13 Oktober agar bersedia menghadapi masa menunggu lebih lama, sedang institusi penjagaan kesihatan awam setempat melaporkan gangguan perkhidmatan yang berterusan.
Dua daripada tiga kluster kesihatan awam, iaitu NHG Health dan Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS), mengeluarkan notis tentang gangguan itu di media sosial.
Hospital Besar Singapura (SGH), yang bernaung di bawah kluster SingHealth, menyiarkan notis berasingan di halaman Facebooknya.
NHG Health dalam hantaran Facebook sekitar 9 pagi berkata perkhidmatan panggilan telefon di seluruh klusternya “tidak tersedia buat sementara waktu”.
Ia menambah bahawa pihaknya sedang berusaha memulihkan akses, namun tidak menyatakan punca gangguan itu.
Empat hospital di bawah NHG Health ialah Hospital Tan Tock Seng (TTSH), Hospital Khoo Teck Puat (KTPH), Hospital Woodlands dan Hospital Masyarakat Yishun (YCH). Kumpulan itu juga mempunyai 10 poliklinik di kawasan seperti Ang Mo Kio dan Khatib.
TTSH dalam hantaran Facebook sekitar 9.40 pagi berkata pesakit yang mengunjungi klinik dan farmasinya mungkin mengalami masa menunggu lebih lama.
“Pesakit dan orang ramai boleh melayari laman web kami serta HealthHub dan Aplikasi NHG Health untuk mendapatkan bantuan.
“Kami memohon maaf atas kesulitan ini. Kami mohon pengertian dan kesabaran anda pada masa ini,” kata NHG Health.
Secara berasingan, Hospital Universiti Nasional (NUH) dalam hantaran Instagram sekitar 10.30 pagi berkata ia mengalami “gangguan sistem”.
Sekitar 11.30 pagi, NUHS dalam hantaran Facebook berkata institusinya mengalami gangguan teknikal yang menjejaskan beberapa sistem.
Selain NUH, kluster NUHS turut merangkumi Hospital Besar Ng Teng Fong (NTFGH) dan Hospital Alexandra.
NUHS berkata pihaknya bekerjasama dengan agensi teknologi kesihatan nasional, Synapxe, untuk menyelesaikan masalah itu dan memulihkan akses sepenuhnya secepat mungkin. Ia menambah bahawa penjagaan pesakit kekal keutamaannya.
Dalam hantarannya, NUHS turut memohon pengertian orang ramai atas masa menunggu yang lebih lama, dan menasihati pesakit serta orang ramai agar menyemak platform media sosialnya bagi maklumat terkini.
“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan sedang kami berusaha menyelesaikan masalah ini,” kata NUHS.
Sementara itu, SGH di bawah SingHealth dalam hantaran Facebook sekitar 11.30 pagi berkata ia “mengalami gangguan sistem sementara yang menjejaskan sebahagian perkhidmatan kami”.
Perkhidmatan itu termasuk tempahan dan pertukaran temu janji pesakit luar, pendaftaran pelawat dan pertanyaan bil, tambahnya.
“Pasukan kami sedang berusaha memulihkan sistem yang terjejas secepat mungkin dan akan memberikan maklumat terkini apabila perkhidmatan disambung semula.”
Kementerian Kesihatan (MOH) telah dihubungi bagi maklumat lanjut.