Gangguan perkhidmatan yang menjejas sektor penjagaan kesihatan awam Singapura selama kira-kira sembilan jam setengah pada 13 Oktober telah dapat diatasi.

Sistem terjejas yang digunakan oleh pesakit dipulihkan secara berperingkat mulai sekitar 3 petang, dengan perkhidmatan pulih sepenuhnya menjelang 4.37 petang, menurut agensi teknologi kesihatan kebangsaan, Synapxe, dalam satu hantaran Facebook sekitar 5.40 petang.

Gangguan tersebut menjejas kelompok penjagaan kesihatan awam – NHG Health, Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS) dan SingHealth.

Tiada petunjuk bahawa gangguan perkhidmatan itu merupakan insiden siber dan siasatan sedang dijalankan, ujar Synapxe.

Sekitar 7.10 pagi, satu masalah teknikal yang menjejas ketersambungan rangkaian telah menyebabkan gangguan kepada beberapa perkhidmatan di seluruh kelompok penjagaan kesihatan awam, tambah Synapxe.

Ia termasuk perkhidmatan pesakit seperti tempahan janji temu melalui pusat panggilan, pendaftaran pelawat dan pertanyaan mengenai bil.

Semasa gangguan tersebut, pesakit dan pelawat di beberapa institusi penjagaan kesihatan awam perlu menunggu lebih lama bagi perkhidmatan tertentu, tambahnya.

Synapxe menyatakan bahawa pasukannya bekerjasama rapat dengan kelompok penjagaan kesihatan awam untuk memulihkan perkhidmatan secepat mungkin.

“Kami memohon maaf atas kesulitan yang timbul dan mengucapkan terima kasih kepada pesakit, pelawat serta kakitangan penjagaan kesihatan atas kesabaran dan pemahaman mereka,” katanya.

Dalam satu kenyataan kepada pihak media selepas perkhidmatan dipulihkan, NHG Health menyatakan walaupun perkhidmatan pesakit di institusinya, seperti talian pusat panggilan dan tempahan janji temu terganggu, penjagaan pesakit tidak terjejas.

Pihaknya menyatakan bahawa institusi-institusi tersebut segera mengaktifkan prosedur sedia ada bagi situasi gangguan sistem, yang membolehkan perkhidmatan klinikal – termasuk rawatan kecemasan, penjagaan pesakit dalam wad, pembedahan, serta ujian dan imbasan perubatan – diteruskan dengan gangguan yang minimum.

Perkhidmatan penghantaran ubat juga terus disediakan melalui farmasinya.

“Kakitangan tambahan dan sukarelawan tampil bagi menyokong operasi lapangan, membantu pesakit dengan urusan pendaftaran dan pembayaran di lokasi, serta mengurangkan kesan gangguan tersebut,” tambahnya.

NHG Health merupakan antara pihak terawal yang mengumumkan gangguan tersebut di media sosial.

Dalam satu hantaran Facebook sekitar 9 pagi, ia memaklumkan bahawa perkhidmatan panggilan di seluruh kumpulannya “tidak dapat diakses buat sementara waktu”.

Tiga institusinya – Hospital Tan Tock Seng (TTSH), Hospital Masyarakat Yishun dan Hospital Khoo Teck Puat (KTPH) – menyatakan dalam hantaran Facebook berasingan bahawa tempoh menunggu mungkin lebih lama.

Semasa gangguan itu berlaku, NHG Health menasihatkan pesakit dan orang ramai supaya menggunakan laman webnya, HealthHub atau Aplikasi NHG Health untuk mendapatkan bantuan.

Hospital Woodlands, yang berada di bawah naungan NHG Health, memaklumkan pada 1.30 petang bahawa talian pusat panggilannya telah pulih.

Satu lagi kumpulan, NUHS, menyatakan dalam hantaran Facebook sekitar 11.30 pagi bahawa institusi-institusinya sedang mengalami gangguan teknikal yang menjejaskan pelbagai sistem.

Hospital Universiti Nasional (NUH) pula memaklumkan menerusi hantaran Instagram sekitar 10.30 pagi bahawa ia sedang mengalami masalah “sistem tidak beroperasi”

Selain NUH, kelompok NUHS turut merangkumi Hospital Besar Ng Teng Fong (NTFGH), Hospital Alexandra (AH) dan lapan poliklinik.

Dalam hantarannya, NUHS berkata orang ramai orang ramai kemungkinan mengalami tempoh menunggu yang lebih lama serta menasihati pesakit dan orang ramai supaya menyemak platform media sosialnya untuk mendapatkan perkembangan terkini.

“Penjagaan pesakit kekal menjadi keutamaan kami,” kata NUHS.

Hospital Besar Singapura (SGH) di bawah naungan SingHealth memaklumkan menerusi satu hantaran Facebook sekitar 11.30 pagi bahawa ia “mengalami gangguan sistem sementara yang menjejas sebahagian perkhidmatan kami”.

Pihaknya menambah bahawa gangguan itu melibatkan urusan tempahan dan perubahan janji temu pesakit luar, pendaftaran pelawat serta pertanyaan berkaitan bil.

Perkhidmatan talian bantuan dan teks kesihatan mental 24 jam Singapura, mindline.sg, turut melaporkan masalah pada talian hotline dan perkhidmatan WhatsAppnya pada 8 pagi.

Dalam satu kemas kini pada tengah hari, ia memaklumkan bahawa perkhidmatan telah beroperasi sepenuhnya.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti