BULAN suci Ramadan membawa banyak keberkatan bagi diri dan orang di sekeliling kita. Setiap amalan baik dan ibadah yang dilakukan dengan niat yang betul mempunyai potensi diberikan ganjaran berlipat ganda oleh Allah swt.

MEMPERKUKUH AMAL IBADAH KITA

Kita sudah pun melepasi pertengahan bulan Ramadan. Pada hari-hari terakhir bulan ini, langkah dan mutu ibadah kita perlu diperkukuh dan dipertingkat. Hanya dengan memasang niat yang betul, amalan mudah juga boleh menjadi ibadah yang membawa ganjaran.

Sebagai contoh, perbuatan semudah menikmati sesuatu hidangan, jika dipasang dengan niat yang betul, mengikuti sunah Rasulullah saw dalam setiap gerak-geri semasa makan, dan tidak membiarkan diri kita lupa dan alpa bahawa makanan itu sendiri sebenarnya satu nikmat daripada Allah swt, ia mampu membawa ganjaran yang lebih besar.

Sekiranya kita dapat menimbulkan kesedaran tentang Tuhan dalam setiap aspek kehidupan kita, setiap tingkah laku kita boleh dianggap sebagai ibadah.

KECEKALAN DALAM MENGHARUNGI CABARAN

Kemunculan wabak Covid-19 telah menjerumuskan kita ke dalam keadaan yang payah dan yang tidak pernah dilalui kita semua. Ia memberatkan kita dalam pelbagai aspek kehidupan. Mungkin juga terdapat beberapa ketika kita semua dihimpit hampir ke sudut yang boleh menjatuhkan kita.

Namun, kita memiliki keimanan kepada Allah swt, dan doa yang tidak putus-putus dipanjatkan kepada-Nya memberi kita kekuatan dan bimbingan daripada-Nya. Sebahagian kita mungkin telah sampai ke satu peringkat berasa tidak mampu meneruskan langkah. Namun, kita tetap gagahkan diri, bangkit semula dan bergerak ke hadapan.

Usah kita lupa janji Allah swt dalam ayat 153-157, Surah Al-Baqarah yang bermaksud:

"Wahai sekalian orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang yang sabar.

"Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela Agama Allah itu: orang mati; bahkan mereka itu orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak menyedarinya.

"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar:

"(Iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa sesuatu kesusahan, mereka berkata: 'Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali'.

"Mereka itu orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya."

TERUS MENARUH HARAPAN PADA RAHMAT ALLAH

Melakukan amalan baik dan beribadah secara konsisten merupakan cara kita mendapatkan rahmat Allah swt yang seluas-luasnya. Natijah dan ganjaran atas amalan baik dan ibadah kita juga berlipat ganda dalam bulan Ramadan.

Dengan ketibaan 10 malam terakhir Ramadan, kita diajak terus meningkatkan usaha dalam setiap aspek kehidupan harian demi mendapatkan rahmat Allah swt.

Perjalanan akhir Ramadan ini mungkin merupakan cabaran terbesar yang pernah kita lalui sejauh ini dalam usaha kita untuk menerapkan niat yang baik dan amalan ibadah lain dalam rutin seharian kita.

Kita tidak harus merungut dan terus kekal menggantungkan harapan terbesar kita terhadap Allah swt.

MEMANFAATKAN PELUANG KEEMASAN DALAM RAMADAN - TUMPUAN KHAS PADA 10 MALAM TERAKHIR

Setiap saat dalam Ramadan dipenuhi dengan ihsan dan rahmah yang tidak terhitung, dan kita harus bertekad memenuhi setiap hari dalam bulan yang mulia ini dengan amalan baik, dalam apa jua bentuk. Setiap masa dalam sehari mempunyai kesan dan agihan rahmah yang telah ditentukan.

Malam-malam Ramadan merupakan malam penting sedang kita menunaikan solat tarawih. Pelbagai riwayat juga mendedahkan tentang pelbagai amalan untuk menghidupkan malam-malam tersebut dengan solat, zikir, doa dan amal ibadah lain.

NIGHT OF POWER 2022

Ayuh kita nikmati penyegaran semula rohani kita pada 22 April 2022 ini di Auditorium Masjid Sultan bagi acara 'Night of Power 2022'.

Isikan hati kita dengan alunan nasyid dan qasidah serta selawat bagi mendekatkan diri kita kepada Allah swt dan utusan-Nya, Rasulullah saw.

Dengar, renungkan dan berinteraksi menerusi forum yang akan merangsang minda bersama Timbalan Mufti, Dr Mohammad Hannan Hassan, dan luangkan masa dengan bertafakur dan merenung ke dalam diri sedang kita menghampiri tengah malam.

Jadikan Ramadan kali ini Ramadan yang penuh bermakna dan pemangkin agar kita menjadi insan dan Muslim yang lebih baik. Insya-Allah.

  1. Penulis Pegawai Pembangunan Belia Masjid Al-Falah. Acara 'Night of Power 2022' dibawakan oleh Masjid Al-Falah dan Belia Al-Falah, Kelompok Masjid Selatan dan disokong Pergerakan SalamSG.