Kali pertama saya daftar untuk mendapatkan kad untuk meminjam buku daripada Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), saya berusia lima tahun.

Ketika itu, saya ditemani ibu dan bapa saya dan kami telah membuat pendaftaran di Perpustakaan Awam Toa Payoh.

Saya ingat lagi betapa seronoknya mendapat kad perpustakaan, meskipun pada 1999, kad itu hanyalah sekeping kertas yang dilaminat.

Hanya empat buku sahaja dibenarkan untuk dipinjam selama dua minggu, jadi saya perlu fikir dengan serius buku mana yang ingin saya baca.

Setiap hujung minggu merupakan masa yang saya nantikan sebab saya tahu hujung minggu bermakna kami akan ke perpustakaan.

Ibu bapa saya tidak perlu memaksa saya untuk membaca.

Malah saya yang akan ingatkan mereka sudah tiba masanya untuk pulangkan buku lama dan pinjam buku baharu.

Saya teringat akan memori ini apabila NLB baru-baru ini mengumumkan inisiatif baharu yang memberi ganjaran bagi setiap 15 minit yang ditumpukan kepada kegiatan membaca.

Ia mencetuskan beberapa tanda tanya – mengapa ganjaran diperlukan dan apa yang membuat orang kurang minat membaca pada zaman ini?

Bagi menjawab soalan kedua, terdapat beberapa faktor yang dapat menjelaskan gejala kurang membaca.

Antaranya, keupayaan untuk memberi tumpuan dan fokus terhadap sesuatu kegiatan atau tugasan tanpa terganggu, telah merosot.

Kurangnya daya tumpuan ini bukan fenomena yang baharu, namun ia menjadi lebih teruk dengan ketagihan kepada media sosial.

Stimulasi mental seseorang individu akan terjejas jika kerap menonton video pendek selama 30 hingga 90 saat, seperti video pendek di Instagram atau TikTok, di samping melihat kandungan baharu yang terus dimuat naik dan dikemas kini tanpa henti.

Apabila otak kita terbiasa melihat informasi atau kandungan baharu, kita sukar untuk melakukan perkara yang memerlukan tumpuan lama, seperti membaca.

Selain itu, tabiat membaca juga adalah sesuatu amalan yang perlu dipupuk dari kecil.

Kelebihan membaca sering kali dibahas, tetapi kenapa tabiat itu sukar diterapkan?

Adakah dengan pemberian ganjaran seperti kewangan, masyarakat akan lebih cenderung untuk membaca buku?

Justeru, menerusi Cabaran ReadSG, yang dilancarkan pada 6 September oleh NLB, peserta boleh menetapkan matlamat peribadi, mengekalkan tempoh membaca yang lebih lama, mengumpul mata pengalaman serta syiling maya yang boleh ditebus.

Setiap 15 minit sehari yang diperuntukkan demi membaca, yang dicatat dalam portal CrowdTaskSG, menjanjikan sebanyak 20 syiling maya dan sebanyak 1,000 syiling maya dapat ditebus untuk mendapatkan $1.

Ini bermakna 50 hari diperlukan untuk mendapatkan 1,000 syiling maya atau $1.

Menurut saya, langkah ini mungkin berkesan sebagai langkah permulaan untuk mendorong orang membaca.

Akan tetapi, nilai ganjaran wang boleh mengurangkan minat semula jadi seseorang untuk terus melakukan sesuatu perkara apabila ganjaran itu sudah tiada.

Langkah ini tidak memberi penyelesaian bagi isu struktural dan perilaku yang mengekang atau membuatnya sukar untuk individu membaca.

Sebaliknya, langkah lain boleh diambil di peringkat berbeza.

Sebagai contoh, ibu bapa boleh mendedahkan anak mereka kepada buku di perpustakaan.

Apabila kanak-kanak itu mula selesa, mereka tidak akan segan untuk mengunjungi perpustakaan untuk meminjam buku atau sekadar membaca.

Bagi golongan remaja yang lebih cekap menggunakan peranti digital, mereka boleh membaca dalam talian atau menggunakan alat membaca elektronik seperti Kindle dan Kobo, termasuk membaca komik.

Golongan dewasa pula, yang mungkin kesuntukan masa, boleh memilih buku tipis dengan topik yang lebih ringan.

Mereka juga boleh membaca berita menggunakan aplikasi atau artikel di aplikasi seperti Substack dan Medium.

Warga emas tidak terkecuali daripada membaca.

Mungkin jika penglihatan mereka kurang baik, mereka boleh memilih mendengar buku audio ataupun membaca buku dengan cetakan huruf besar.

“

“Menurut saya, langkah ini mungkin berkesan sebagai langkah permulaan untuk mendorong orang membaca. Akan tetapi, nilai ganjaran wang boleh mengurangkan minat semula jadi seseorang untuk terus melakukan sesuatu perkara apabila ganjaran itu sudah tiada. Langkah ini tidak memberi penyelesaian bagi isu struktural dan perilaku yang mengekang atau membuatnya sukar untuk individu membaca.”
Penulis.
Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti