Gardens by the Bay sedang menyiasat beberapa kejadian burung diburu di premisnya sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Kejadian itu diketengahkan oleh Persatuan Berkaitan Penyelidikan dan Pendidikan Haiwan (Acres) dalam satu hantaran di Facebook pada 18 Oktober.
Dalam hantarannya itu, Acres menyatakan bahawa dalam tempoh dua bulan, empat ekor burung telah mati selepas terperangkap pada dahan pokok yang telah dicalit dengan gam.
Semua kejadian tersebut berlaku di Gardens by the Bay antara Ogos dengan September.
Jurucakap Gardens by the Bay memberitahu The Straits Times bahawa siasatan dalaman sedang dijalankan, tetapi pelakunya masih belum ditangkap.
Bagi mengelak berlakunya pemburuan haram di premisnya pada masa hadapan, beberapa langkah pengawasan dan penguatkuasaan telah dilaksanakan.
Kejadian pertama berlaku pada 11 Ogos, apabila seekor burung murai kampung (oriental magpie-robin) ditemui terjuntai dari gam yang dicalit pada dahan di Gardens by the Bay, kata Acres kepada ST.
Pada hari yang sama, sepasang burung kelicap bukit (olive-backed sunbirds) ditemui terlekat pada dahan pokok lain.
Pada 30 September, kejadian ketiga berlaku, apabila seekor burung pekaka dada (white-throated kingfisher) putih ditemui terlekat pada sebatang pokok.
Antara tiga spesies itu, burung murai kampung disenaraikan dalam spesies setempat yang terancam.
Menurut pengasas bersama Rangkaian Belia Global CITES, Encik Ting Wai Kit, pemburuan haram dengan gam menimbulkan risiko kepada semua spesies burung, kerana ia menjerat mana-mana burung yang bersentuhan dengannya.
Sesiapa yang melihat pokok berbuih dengan gam boleh menghubungi NParks di talian 1800-476-1600.
Jika terlihat burung yang terperangkap, mereka harus menghubungi talian penyelamat hidupan liar Acres di 9783 7782 dengan segera.
Seseorang tidak seharusnya cuba mengeluarkan burung yang terperangkap tanpa bimbingan, kerana pengendalian yang salah boleh membahayakan burung tersebut.
Gardens by the Bay turut menggesa orang ramai supaya memaklumkan kakitangan atau pegawai keselamatannya jika mereka melihat sebarang kegiatan pemburuan haram.
Ia menambah bahawa pesalah akan dilaporkan kepada NParks dan polis.
Di bawah Akta Hidupan Liar, kegiatan pemburuan haram di Singapura. Mereka yang didapati bersalah boleh didenda sehingga $50,000, dan hidupan liar yang diburu akan dirampas.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg