Berita Harian (BH) menyorot kembali respons pemerintah sejak satu kertas kajian mengenai pembelian hartanah oleh pegawai awam berhampiran lokasi stesen MRT yang belum diumumkan, diterbitkan pada September lalu.

11 September: Kertas kajian diterbitkan

Biro Penyelidikan Ekonomi Nasional (NBER), sebuah badan bukan meraih keuntungan (NPO) Amerika Syarikat, menerbitkan kertas kerja bertajuk ‘Do Social Norms Substitute for Enforcement? Evidence from Public Officials’ Home Purchases in Singapore’.

Kertas penyelidikan itu melaporkan kaitan statistik antara penjawat awam dengan pembelian rumah mereka berdekatan stesen MRT yang dirancang sebelum lokasi stesennya diumumkan secara awam.

Menurut kajian tersebut, corak itu paling ketara dalam tempoh satu hingga dua tahun sebelum lokasi stesen diumumkan kepada umum, khususnya dalam kalangan pegawai pertengahan dan pegawai daripada agensi yang terlibat dalam perancangan laluan MRT.

Penyelidik menganggarkan terdapat sekitar 113 pembelian hartanah tambahan oleh penjawat awam dalam tempoh dua tahun sebelum pengumuman, dengan nilai pembelian kasar sekitar $138 juta.

Mereka turut menganggarkan sekitar 108 pembelian tambahan dalam kalangan individu yang dikenal pasti sebagai anggota saudara atau pihak yang didaftarkan bersama penjawat awam, dengan nilai kasar sekitar $132 juta.

Ini membawa jumlah anggaran kepada sekitar 221 pembelian bernilai $270 juta, namun angka tersebut merupakan anggaran statistik dan bukan 221 kes pembelian tertentu yang didapati melibatkan salah laku.

14 September: PSD beri respons

Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) menyatakan pemerintah sedang meneliti data dan metodologi kertas kajian tersebut.

PSD berkata ia memandang “amat serius” sebarang kebimbangan mengenai integriti dan akan merujuk perkara itu kepada Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) jika terdapat “asas kukuh” untuk berbuat demikian.

25 September: Pemerintah semak pembelian hartanah

PSD mengumumkan bahawa ia sedang menjalankan penelitian untuk menilai sama ada wujud salah laku sebenar yang membabitkan penjawat awam yang terlibat dalam perancangan rangkaian MRT antara 2007 dengan 2011.

Ia berkata pihaknya sedang mengenal pasti pembelian berkenaan dan menilai sama ada berlaku salah laku.

Jika terdapat bukti bahawa seseorang pegawai menggunakan maklumat yang belum diketahui umum untuk membeli hartanah bagi kepentingan peribadi, kes itu akan dirujuk kepada polis untuk siasatan lanjut.

PSD menegaskan bahawa corak statistik dalam kajian tersebut tidak dengan sendirinya membuktikan bahawa mana-mana pegawai mempunyai akses kepada maklumat sulit mengenai lokasi stesen MRT atau menggunakan maklumat itu untuk membeli hartanah.

Ia berkata maklumat atau spekulasi mengenai laluan dan stesen MRT yang dirancang mungkin sudah berada dalam pengetahuan umum atau digunakan dalam pemasaran hartanah.

PSD turut menjelaskan beberapa perlindungan sedia ada, termasuk kewajipan mengisytiharkan pembelian hartanah, kawalan terhadap akses kepada maklumat sensitif serta saluran untuk melaporkan salah laku.

Keperluan pegawai awam mengisytiharkan pembelian hartanah privet diperkenalkan pada 1996.

Kerangka dasar pengisytiharan dalaman diperkukuh pada 2011, manakala Akta Tadbir Urus Sektor Awam diperkenalkan pada 2018.

6 Oktober: Chun Sing beri penjelasan di Parlimen

Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan Chun Sing, berkata PSD telah menyemak transaksi hartanah melibatkan 191 pegawai awam yang pernah bekerja di agensi berkaitan perancangan laluan MRT dan membuat pembelian hartanah antara 2007 hingga 2014 berhampiran lokasi yang kemudiannya diumumkan sebagai stesen MRT.

Dalam semakan itu, beliau berkata tempoh semakan telah diperluaskan hingga 2014, berbanding 2011 yang dinyatakan PSD pada 25 September, kerana beberapa lokasi stesen MRT terus diumumkan selepas 2011.

Daripada 191 pegawai itu, Encik Chan berkata lapan pegawai telah dirujuk kepada polis untuk pemeriksaan lanjut.

Encik Chan berkata kes itu dikenal pasti sama ada kerana terdapat keadaan khusus berkaitan pembelian tersebut atau kerana maklumat yang ada pada masa ini tidak mencukupi untuk menolak kes berkenaan daripada semakan lanjut.

Beliau menegaskan bahawa rujukan kepada polis tidak bermakna salah laku telah dibuktikan. Polis akan meneliti fakta secara bebas dan proses sewajarnya akan diikuti.

Encik Chan berkata pemerintah juga akan mempertimbangkan sama ada semakan tersebut menunjukkan terdapat jurang dalam langkah perlindungan sedia ada.