GCE ‘O’: Pasang tekad banggakan ibu, banduan raih 4 A di balik jeriji besi

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

GCE ‘O’: Pasang tekad banggakan ibu, banduan raih 4 A di balik jeriji besi

Setelah tercicir di Menengah 1 dan terjerat dengan dadah, matlamat kini untuk dalami fotografi, jana kandungan media sosial
Jan 22, 2026 | 12:43 PM

GCE ‘O’: Pasang tekad banggakan ibu, banduan raih 4 A di balik jeriji besi

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Acara meraikan keputusan peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘O’ di Sekolah Penjara Changi, antara lain, mengetengahkan usaha cemerlang seorang banduan berusia 33 tahun,‘Faiz’, (bukan nama sebenar), yang mendapat empat gred A dalam peperiksaan tersebut.
Acara meraikan keputusan peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘O’ di Sekolah Penjara Changi, antara lain, mengetengahkan usaha cemerlang seorang banduan berusia 33 tahun,‘Faiz’, (bukan nama sebenar), yang mendapat empat gred A dalam peperiksaan tersebut. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Meskipun sudah meninggalkan bangku sekolah sekitar dua dekad lalu ketika di menengah satu, Faiz (bukan nama sebenar), 33 tahun, seorang banduan, bertekad bulat untuk kembali belajar dan mengambil peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘O’ sambil menjalani hukuman penjara.

Tanpa diduganya, beliau meraih empat gred A bagi Bahasa Inggeris, Prinsip Perakaunan (POA), Pengajian Perniagaan dan Bahasa Melayu, hasil Program Akademik, yang disediakan buat banduan di Sekolah Penjara Changi.

Walaupun tidak menjangkakan keputusan cemerlang, Faiz, seorang pesalah dadah, bersyukur dapat membanggakan ibunya.

Beliau merupakan salah seorang daripada 28 banduan yang menerima keputusan GCE Peringkat ‘O’ pada 14 Januari lalu.

Daripada jumlah banduan yang menduduki peperiksaan itu, 92.9 peratus memperoleh sekurang-kurangnya tiga kelulusan peringkat ‘O’, jelas satu kenyataan Perkhidmatan Penjara Singapura.

Sebanyak 28.6 peratus daripada mereka pula meraih lima atau lebih kelulusan Peringkat ‘O’.

Lima hari seminggu, Faiz memulakan kelas pada setiap 8.30 pagi dan menamatkannya pada 3.10 petang.

Kurikulum sekolah penjara bagi pelajar Peringkat ‘O’ dipadatkan agar mereka dapat menamatkan kursus sepanjang tempoh dipenjara.

Berkongsi dengan Berita Harian (BH), Faiz berkata walaupun tidak menjangkakan keputusan yang baik, beliau belajar bersungguh-sungguh kerana mahu membanggakan ibunya, yang disifatkan sebagai tonggak sokongan terbesarnya.

Apabila menerima berita tentang keputusannya, Faiz menulis surat kepada ibunya, yang membalas dengan menyatakan beliau menangis kegembiraan dan berasa amat bangga dengan pencapaian anaknya itu.

Sebelum ini, beliau hanya bersekolah hingga menengah satu sahaja.

Faiz mula menjalani hukuman penjara pertamanya pada 2017 selama tiga tahun 10 bulan.

Setelah dibebaskan, anak kedua dalam keluarga tiga beradik ini mencuba bidang fotografi perkahwinan dan bekerja secara bebas, termasuk mengajar seni tembikar.

“Entah bagaimana dalam tempoh itu, saya tersasar. Saya bertemu seseorang yang menawarkan dadah pada harga yang murah, dan akhirnya saya kembali menggunakannya,” katanya.

Kini, semasa menjalani tempoh dipenjara buat kali kedua, Faiz memutuskan untuk membuka lembaran baharu dan memilih laluan pendidikan sebagai usaha memperbaiki kehidupannya.

“Apa yang ingin saya sampaikan kepada orang di luar sana, adalah penting untuk mempunyai matlamat dan tujuan hidup.

“Dari Januari hingga Mei tahun lalu (2025), kami semua fokus untuk mencapai matlamat kami bagi menghadapi peperiksaan pertengahan tahun. Selepas itu, terdapat cuti selama tiga minggu dan ramai antara kami berasa hilang arah.

“Ketika itulah saya sedar betapa pentingnya seseorang mempunyai matlamat hidup kerana ia membantu kita kekal fokus,” kongsi Faiz.

Kini, Faiz yang masih bujang dan tidak mempunyai anak berharap dapat meningkatkan kemahirannya dalam bidang media dan fotografi, memandangkan minat mendalamnya terhadap Program Media di penjara, membolehkannya meneruskan minat lamanya dalam fotografi.

Tambahnya, beliau juga berminat untuk mengikuti kursus Penciptaan Kandungan Dalam Talian Media Sosial yang ditawarkan di Sekolah Penjara Changi, bagi membangunkan kemahiran praktikal untuk laluan kerjaya dalam sektor media dan ciptaan kandungan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg