MENTERI Kesihatan Encik Ong Ye Kung berkata gelombang baru Covid-19 boleh berlaku di Singapura jika antibodi manusia daripada vaksinasi dan jangkitan daripada gelombang Omicron terakhir mula berkurangan, yang boleh membawa kepada peningkatan kes mungkin pada Julai atau Ogos ini.
Ini berdasarkan apa yang berlaku di negara lain di dunia seperti Amerika Syarikat dan Eropah, yang didorong oleh varian virus BA.4 dan BA.5.
"Ia bukan disebabkan oleh sebarang usaha pemodelan yang rumit, tetapi dengan hakikat bahawa apabila gelombang reda, empat hingga enam bulan kemudian, kita harus menjangkakan gelombang lain akan meningkat," kata Encik Ong.
Kedua-dua varian itu mula dikesan di Afrika Selatan awal tahun ini dan kini menyebabkan peningkatan baru dalam bilangan Covid-19 di seluruh dunia.
Tiga kes pertama varian itu dikesan di Singapura pada pertengahan Mei tetapi pakar mengatakan tiada sebab untuk berasa cemas.
Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan bagi memberikan perkembangan hab sukan dan masyarakat bersepadu, Bukit Canberra semalam.
Selepas menanti selama hampir dua tahun, hab itu akan dibuka secara bertahap, dengan fasa pertama dijadual selesai dibina pada suku ketiga tahun ini.
Encik Ong, yang juga penasihat akar umbi GRC Sembawang, menganggap Bukit Canberra sebagai 'mahkota' buat para penduduk Sembawang.
"Kita akan lihat banyak kemudahan apabila ia siap kelak. Pastinya ia menjadi 'mahkota' buat para penduduk Sembawang," katanya.
Pembangunan Bukit Canberra akan menawarkan kemudahan seperti tempat bersukan luar dan dalam kawasan tertutup, poliklinik, pusat jagaan warga senja, pusat makanan dan pusat jagaan kanak-kanak.
Akan terdapat juga kemudahan taman bagi masyarakat dalam sekitaran hijau semula jadi.
Hab seluas 12 hektar yang dibangunkan Sport Singapore (SportSG) akan menempatkan pelbagai khidmat pimpinan Persatuan Rakyat (PA), Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD), Kementerian Kesihatan (MOH), Poliklinik Kumpulan Jagaan Kesihatan Nasional (NHGP), Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Lembaga Taman Negara (NParks) dan Lembaga Warisan Negara (NHB).
Menyentuh tentang poliklinik yang bakal dibina di hab tersebut, Encik Ong berkata ia akan menambah kepada prasarana jagaan asas dalam kawasan tersebut.
"Kami juga mempunyai penduduk yang kian menua di utara Singapura ini, maka poliklinik ini akan menambah kepada prasarana jagaan asas yang ada sekarang," jelasnya.
Kemudahan lain yang akan turut disediakan di hab itu termasuk pusat penjaja dengan 44 gerai, makmal kesihatan aktif serta studio kesejahteraan kesihatan dan pemakanan sihat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg