Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gembira terima pasport baru setelah tunggu sejak April

Jun 14, 2022 | 5:30 AM
LEGA DAPAT PASPORT: Cik Musfirah Mohamed berasa lega setelah mendapat pasport barunya.
LEGA DAPAT PASPORT: Cik Musfirah Mohamed berasa lega setelah mendapat pasport barunya. -

HANYA baki minggu sebelum cuti sekolah bulan Jun tamat, justeru Cik Musfirah Mohamed, 33 benar-benar mahu mendapatkan pasportnya supaya dapat ke luar negara.

Sebagai seorang guru, inilah peluangnya untuk merehatkan minda sebelum sekolah dibuka semula.

Cik Musfirah telah ke bangunan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) semalam untuk mengambil pasportnya tanpa waktu janji temu yang tetap.

Ini setelah beliau membuat permohonan minggu lalu untuk mempercepatkan proses pembikinan pasportnya.

Ketika ditemui Berita Harian (BH), Cik Musfirah berkata:

"Saya telah menghantar permohonan untuk membaharui pasport saya pada April. Oleh kerana saya tidak menerima sebarang berita terkini tentang permohonan tersebut, saya datang sendiri ke bangunan ICA untuk cuba mempercepatkan proses tersebut."

Menceritakan pengalamannya, Cik Musfirah berkata beliau beratur di luar bangunan ICA sejak 7.30 pagi sebelum bangunan ICA dibuka pada 8 pagi.

Setelah menunggu selama 30 minit di luar bangunan ICA, beliau selanjutnya beratur di dalam bangunan tersebut selama satu jam untuk mendapat nombor pendaftaran supaya boleh mengambil pasportnya.

Setelah enam jam menunggu, akhirnya pasport beliau berada dalam genggaman.

"Saya memang sudah menjangkakan bahawa waktu menunggu akan lama tetapi saya tidak sangka ia makan masa sehingga enam jam! Saya rasa ini kerana keutamaan diberi kepada mereka yang telah membuat janji temu."

Bagaimanapun, Cik Musfirah memuji usaha pegawai ICA yang ditugaskan mengarah pengunjung ke ruang khas untuk beratur dan memastikan proses mendapatkan pasport berjalan lancar.

"Kehadiran pegawai-pegawai tersebut amat membantu supaya mengelakkan kekecohan," katanya.

Walaupun penat menunggu agak lama, Cik Musfirah kini rasa lega dan gembira kerana dapat bercuti bersama suaminya.

Selain Cik Musfirah, pengunjung lain seperti Cik Yenny Tiarty, 38 tahun juga lega kerana berjaya mendapatkan pasport anaknya yang membolehkan mereka sekeluarga meneruskan rancangan percutian.

Walau perlu menunggu lama, beliau mendapati bahawa barisan beratur untuk memasuki bangunan ICA lebih pendek berbanding minggu sebelumnya.

"Langkah membenarkan hanya pemohon yang telah menerima tarikh janji temu sahaja dibenarkan untuk datang ke bangunan ICA bagi mengambil pasport mereka lebih berkesan untuk mengurangkan masa menunggu serta mengelakkan barisan beratur di luar bangunan ICA," tambah pengurus sumber tenaga itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg