Topik diikuti
Pergi ke BHkuGeorge Yeo beli lagi 100,000 saham Wilmar, kini pegang lebih 1j saham
George Yeo beli lagi 100,000 saham Wilmar, kini pegang lebih 1j saham
Mantan Menteri Ehwal Luar Singapura, Encik George Yeo, telah membeli 100,000 saham Wilmar International, menjadikan pegangannya dalam syarikat perniagaan pertanian itu melebihi satu juta saham.
Encik Yeo, pengarah bebas Wilmar, membeli saham itu di pasaran terbuka pada harga $2.97 sesaham pada 4 November, menurut dokumen yang difailkan kepada Bursa Saham Singapura (SGX).
Saham Wilmar, yang memiliki konsesi kelapa sawit di Indonesia, jatuh lebih 14 peratus sepanjang sebulan lalu.
Wilmar adalah antara 10 syarikat berdaftar di Singapura yang menerima notis daripada Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada 23 Oktober.
Notis itu meminta dokumen dan maklumat tentang hubungan korporat mereka, konsesi tanah di Indonesia serta usaha mencegah dan memadam kebakaran.
Ia dikeluarkan ketika jerebu rentas sempadan yang semakin teruk menjejaskan Singapura.
Ketua pegawai eksekutif Wilmar, Encik Kuok Khoon Hong, merupakan antara mereka yang dipanggil pemerintah ke mesyuarat tertutup pada 29 Oktober, sebelum pindaan undang-undang jerebu diluluskan di Parlimen pada 4 November.
Pada 2 November, Wilmar berkata ia menerima pelantikan Control Risks Group oleh NEA sebagai penilai.
Penilai itu akan menilai sama ada kumpulan tersebut terlibat atau mempunyai kaitan dengan kebakaran di Indonesia yang menyumbang kepada jerebu di Singapura dan Malaysia. Dentons Rodyk & Davidson dilantik sebagai penasihat undang-undang kepada penilai itu.
Wilmar berkata ia akan melantik kedua-dua firma itu secara sukarela dengan kos sendiri.
Syarikat itu juga akan memberi akses kepada maklumat, dokumen, premis, kakitangan dan tapak yang berkaitan dengan operasi, hubungan korporat dan rantaian bekalannya.
Dalam kenyataan berasingan pada 2 November, syarikat itu turut berkata ia telah menyerahkan kumpulan pertama dokumen dan maklumat sebagai maklum balas kepada notis NEA yang diterima pada 23 Oktober di bawah Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (THPA).
Pada 31 Oktober, Wilmar juga mendedahkan bahawa ia telah menjual baja dan diesel untuk jentera berat kepada enam daripada 10 syarikat yang dikenal pasti NEA mempunyai kaitan dengan jerebu akibat kebakaran di Indonesia. Jualan itu menghasilkan hasil sekitar AS$22.5 juta ($28.8 juta) pada tahun kewangan 2025.