Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

George Yeo tidak cadang tanding pilihan raya presiden

Aug 12, 2022 | 5:30 AM
TIDAK CADANG TANDING: Encik George Yeo berkata dalam wawancara bersama akhbar Lianhe Zaobao bahawa beliau tidak akan bertanding dalam pilihan raya presiden tahun depan. - Foto ZAOBAO
TIDAK CADANG TANDING: Encik George Yeo berkata dalam wawancara bersama akhbar Lianhe Zaobao bahawa beliau tidak akan bertanding dalam pilihan raya presiden tahun depan. - Foto ZAOBAO -

MANTAN menteri ehwal luar, Encik George Yeo, yang namanya sering kali disebut-sebut dalam spekulasi mengenai calon presiden yang berpotensi, berkata dalam wawancara bersama akhbar Lianhe Zaobao bahawa beliau tidak akan bertanding dalam pilihan raya presiden tahun depan.

Menjadi seorang presiden memerlukan disiplin dalam cara seseorang itu berkelakuan dan bercakap, dan Encik Yeo, 67 tahun, memberitahu akhbar bahasa Cina itu bahawa beliau lebih suka menjadi lebih bebas dan tidak dikekang.

"Saya seorang individu yang tidak suka dikekang, saya suka bercakap, saya suka membuat spekulasi... Kadangkala saya tidak betul dari segi politik dalam perkara yang saya katakan.

"Sekarang saya sudah separuh bersara, saya suka dan menghargai kebebasan ini," kata mantan ahli politik itu, yang terus bercakap tentang politik dan isu lain di ceramah, forum dan wawancara media.

"Oleh itu, ini bukan satu prospek yang menarik minat saya," tambah beliau.

Mantan menteri itu membuat komen tersebut semasa satu wawancara baru-baru ini mengenai buku barunya bertajuk George Yeo: Musings, yang akan diterbitkan pada bulan ini.

Beliau ditanya sama ada beliau akan bertanding dalam pilihan raya presiden yang akan berlangsung tahun depan sedang penggal enam tahun Presiden Halimah Yacob berakhir.

Pilihan raya itu akan dibuka kepada calon semua bangsa.

Pilihan raya presiden 2017 dikhaskan untuk calon Melayu kerana Singapura sudah lama tidak mempunyai ketua negara Melayu.

Kriteria kelayakan bagi calon sektor swasta juga dijadikan lebih ketat, yang memerlukan mereka mempunyai pengalaman mengendalikan syarikat besar dan rumit yang mempunyai $500 juta dalam ekuiti pemegang saham.

Puan Halimah, 67 tahun, dipilih tanpa bertanding selepas beliau didapati satu-satunya daripada tiga calon presiden yang layak.

Selepas Encik Yeo berkata memasuki pilihan raya presiden bukan satu prospek yang menarik minatnya, beliau ditanya: "Jadi, 'tidak' adalah jawapannya?".

Beliau menjawab: "Iya".

Wartawan kemudian bertanya lanjut sama ada beliau akan mempertimbangkan untuk bertanding tahun depan sekiranya ada kemungkinan tiada tandingan berlaku lagi.

"Tidak, saya pasti terdapat ramai calon," kata beliau dalam wawancara itu.

Encik Yeo, yang bersara daripada politik selepas pasukan GRC Aljunied Parti Tindakan Rakyat (PAP) tewas di tangan pasukan Parti Pekerja (WP) dalam pilihan raya umum 2011, telah digesa sesetengah orang untuk memasuki pilihan raya presiden pada tahun yang sama.

Sejak itu, nama beliau timbul dalam perbincangan mengenai calon presiden untuk Singapura.

Selepas bersara daripada politik pada 2011, beliau menggalas peranan sebagai pengerusi Kerry Logistics Network pada Ogos 2012, dan menjadi pengarah eksekutif pada November 2013. Pada 2019, beliau bersara daripada jawatan tersebut.

Beliau dilantik sebagai pengarah bukan eksekutif bebas Creative Technology tahun lalu.

Beliau juga pengarah bukan eksekutif bebas di AIA Group yang tersenarai di bursa Hong Kong sejak 2012 dan Pinduoduo yang tersenarai di NASDAQ sejak 2018.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg