GERAKAN Berbudi Singapura (SKM) pada Rabu (9 September) telah melancarkan kempen penghormatan berjudul 'Wira Covid-19 Kita' bagi mengetengahkan peranan yang dimainkan warga Singapura dan pekerja khidmat penting dalam perjuangan berterusan menentang virus ini. Kempen dua bahagian itu terdiri daripada video penghormatan dalam talian dan poster di perhentian bas di serata negara yang menampilkan warga Singapura daripada setiap lapisan masyarakat, dan pekerja penting daripada pelbagai industri. Video itu memaparkan warga Singapura biasa meluahkan penghargaan kepada wira Covid-19 dalam pelbagai bahasa dan Bahasa Isyarat Singapura, serta merakam reaksi wira-wira itu apabila menonton video yang dihantar daripada orang ramai dalam format skrin yang dibahagi dua. Wira-wira yang diketengahkan terdiri daripada pekerja penjagaan kesihatan, pemandu penghantaran, pekerja pengangkutan, pekerja asing dan pegawai penguatkuasa jarak selamat dari Hospital Mount Elizabeth, Hospital Besar Sengkang, GrabFood, Ninja Van, Go Ahead Singapore Pte Ltd, SMRT Buses Ltd dan Transit Link Pte Ltd.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg