DALAM usaha mempertingkat kesedaran tentang amalan gaya hidup hijau dan mampan dalam kalangan penduduk, badan-badan akar umbi Yio Chu Kang telah memulakan sebuah gerakan yang dipanggil YIO Sustainability Movement.

Sebagai sebahagian daripada gerakan itu, lebih 500 penduduk menyertai kegiatan jejak eko Tolak, Kurangkan, Guna Semula dan Kitar Semula (Refuse, Reduce, Reuse and Recycle) yang menampilkan inisiatif hijau dan kemampanan, semalam.

Jejak eko itu, yang bermula dari Blok 624 Ang Mo Kio Ave 4 dan berakhir di Pasar dan Pusat Makanan 628 Ang Mo Kio, menampilkan inisiatif, antara lain, bengkel eko yang mengajak penduduk mengitar semula barang di rumah seperti botol plastik bagi berkebun di rumah dan membuat kompos menggunakan sayur-sayuran dan kulit buah-buahan.

Selain mendidik masyarakat tentang usaha mengurangkan, menggunakan semula dan mengitar semula, gerakan YIO Sustainability Movement turut memberi tumpuan pada usaha menolak barang pakai buang.

Penduduk semalam menyaksikan pelancaran Katakan Tidak Kepada Barang Pakai Buang di Pasar dan Pusat Makanan 628 Ang Mo Kio, yang menggalak mereka membawa bekas sendiri apabila membeli makan di pusat makanan untuk dibawa pulang.

Penduduk boleh mendapatkan produk eko edisi terhad jika mereka berjaya mengumpulkan lima cap pada kad ikrar di gerai makanan yang mengambil bahagian dalam inisiatif itu.

Acara semalam disertai Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, yang juga penasihat badan akar umbi GRC Ang Mo Kio, dan juga penasihat badan akar umbi Yio Chu Kang, Encik Yip Hon Weng.

Encik Yip berkata sebagai sebuah negara kecil, kesan perubahan iklim lebih genting kepada Singapura, dan usaha kolektif dan diselaraskan diperlukan bukan hanya di peringkat nasional, malah juga peringkat masyarakat untuk menangani cabaran iklim.

"Oleh itu, Yio Chu Kang sedang mempertingkat usaha masyarakat, dan memupuk hubungan dan kerjasama lebih kukuh antara penduduk, pemimpin akar umbi, rakan masyarakat dan juga agensi untuk memainkan peranan mereka membina Yio Chu Kang yang lebih hijau.

"Pada dasarnya, kami mahu mewujudkan kesedaran dan memupuk cara hidup lebih mampan dalam masyarakat yang menguruskan sumber kami secara bertanggungjawab bagi generasi masa depan," kata beliau.

Sebagai sebahagian acara semalam, penduduk antara lain juga berpeluang mengambil bahagian dalam gerakan Adopt-a-Tree, di mana gerakan Tindakan Hijau bagi Masyarakat (GAC) Yio Chu Kang bekerjasama dengan Majlis Bandaran Ang Mo Kio dan Lembaga Taman Negara (NParks) untuk menanam 1,000 pokok di kawasan Yio Chu Kang.

Lebih 90 pelajar juga telah menyertai hackathon kemampanan untuk menyelidik dan membangunkan prototaip yang akan mengurangkan sisa makanan dan plastik di kedai kopi dan pusat penjaja Yio Chu Kang, dengan lapan kumpulan finalis berkongsi idea kreatif mereka dan aspirasi membina sebuah Singapura yang lebih hijau bersama Encik Lee semalam.