Geran hingga $150,000 tersedia bagi syarikat reka semula peranan kerja
Geran hingga $150,000 tersedia bagi syarikat reka semula peranan kerja
Majikan akan menerima sokongan lebih tinggi pada 2026 untuk mentransformasikan perniagaan mereka, menerusi Geran Pembangunan Tenaga Kerja SkillsFuture (Reka Semula Pekerjaan)–(WDG(JR+)) yang terbaru, bermula Mac 2026, umum Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng.
Geran itu akan menyediakan sokongan sehingga 70 peratus daripada kos projek dengan had maksimum sebanyak $150,000 bagi setiap syarikat.
Ini membolehkan syarikat mereka semula lebih banyak peranan kerja, melantik pakar untuk membina keupayaan dalaman, serta melaksanakan penyelesaian tenaga kerja berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Jumlah itu adalah lebih tinggi berbanding program Sokongan untuk Reka Semula Pekerjaan di bawah Geran Penyelesaian Produktiviti (PSG-JR) sebelum ini yang mempunyai had sehingga $30,000.
WDG(JR+) merupakan sebahagian daripada Pakej Transformasi Tenaga Kerja Perusahaan (EWTP) bernilai $400 juta yang diumumkan pada 2025.
Berkongsi lanjut semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Tenaga Manusia pada 3 Mac, Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, menegaskan kepentingan mempersiapkan perniagaan masa hadapan dalam menghadapi perubahan teknologi.
“Apabila perniagaan berubah, peranan pekerjaan juga akan berkembang.
“Untuk berjaya, syarikat perlu melabur dalam membangunkan pekerja mereka agar mereka bersedia untuk memikul tanggungjawab dalam pekerjaan baru dan yang telah direka semula,” katanya.
Melalui kerjasama dengan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) dan Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef), Dr Tan berkata skim EWTP bertujuan untuk memperkukuh hubungan antara transformasi perusahaan dengan pembangunan tenaga kerja, bagi meraih pertumbuhan serta mencipta peluang pekerjaan.
Di bawah EWTP, geran terbaru WDG(JR+) akan dilancarkan pada Mac ini.
Dengan sokongan sehingga $150,000 itu, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menyatakan ia akan menyediakan syarikat dengan peralatan praktikal dan sumber untuk menangani cabaran utama dalam rekaan semula pekerjaan seperti meningkatkan kemahiran serta penggunaan AI yang berkesan.
Ini beserta sokongan tambahan untuk membina keupayaan bagi pelaksanaan rekaan semula kerja.
Dr Tan menambah bahawa melalui WDG(JR+), perusahaan boleh bekerjasama dengan perunding untuk menilai tahap kesediaan AI mereka, mengenal pasti peluang, dan mereka semula peranan kerja.
“Mereka juga boleh menerima sokongan untuk melaksanakan penyelesaian teknologi tenaga kerja, seperti peralatan sumber manusia berasaskan AI.
“Kami akan terus menambah baik akses kepada sokongan AI di bawah EWTP, dengan penyelesaian sedia ada yang disasarkan kepada keperluan khusus syarikat,” tambahnya.

