GERAN bagi membantu warga Singapura dan penduduk tetap (PR) yang kehilangan pekerjaan atau mengalami pemotongan gaji ketara akibat pandemik Covid-19 akan dilanjutkan sehingga akhir tahun ini, namun dengan kriteria kelayakan yang disemak semula.

Mulai 1 Oktober ini, mereka yang ingin membuat permohonan bagi Geran Sokongan Covid-19 (CSG) seharusnya tidak memiliki lebih daripada satu hartanah.

Ini untuk memastikan sokongan dapat diperuntuk bagi mereka yang kurang upaya, kata Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dalam satu kenyataan pada Selasa (22 September).

Kementerian itu juga berkata Pakej Kemahiran dan Pekerjaan SGunited dapat membantu pekerja terjejas akibat kesan pandemik untuk memperolehi kemahiran dan keupayaan berkaitan pekerjaan dan mendapatkan akses kepada peluang pekerjaan yang diperluas.

"Sejajar dengan langkah ini, semua pemohon CSG - sama ada pemohon kali pertama atau kedua - yang tidak bekerja perlu menunjukkan usaha mereka dalam mencari pekerjaan atau latihan agar mereka layak menerima sokongan CSG," jelas MSF.