Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Gerbang Ikonik’ sambut pengunjung ke Jalur Budaya Geylang Serai yang dinaik taraf

Antara kemudahan baru termasuk gerbang di simpang empat dan bangku untuk rehat; peniaga, pengunjung sambut baik ciri dan kemudahan baru yang dipertingkat
Sep 8, 2024 | 5:30 AM
Setinggi sekitar 20 meter dan selebar sekitar 30 meter, Gerbang Ikonik atau ‘Iconic Arch’ menandakan pintu masuk utama ke Jalur Budaya Geylang Serai (GSCB) yang meliputi kawasan dari Tanjong Katong Complex hingga ke Kelab Masyarakat Kampong Ubi.
Setinggi sekitar 20 meter dan selebar sekitar 30 meter, Gerbang Ikonik atau ‘Iconic Arch’ menandakan pintu masuk utama ke Jalur Budaya Geylang Serai (GSCB) yang meliputi kawasan dari Tanjong Katong Complex hingga ke Kelab Masyarakat Kampong Ubi. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Pengunjung dan peniaga telah menyambut baik kerja naik taraf Jalur Budaya Geylang Serai (GSCB), mengatakan ciri baru dan kemudahan yang dipertingkatkan telah membawa keselesaan dan menjadikan kawasan itu lebih mudah diakses.

Antara hasil kerja naik taraf itu ialah pembinaan gerbang setinggi sekitar 20 meter dan selebar sekitar 30 meter di simpang empat antara Joo Chiat Complex, Pasar Geylang Serai dan Wisma Geylang Serai.

Digelar Gerbang Ikonik atau Iconic Arch, ia menandakan pintu masuk utama ke GSCB, yang meliputi kawasan dari Tanjong Katong Complex hingga ke Kelab Masyarakat Kampong Ubi.

Menurut Jawatankuasa GSCB, ia melambangkan peralihan daripada bekas penempatan Melayu ke kawasan masyarakat kontemporari dan bersemangat.

Beberapa pengunjung menyatakan mereka menghargai usaha untuk mengekalkan warisan budaya di Geylang Serai walaupun gerbang itu mempunyai sentuhan moden.

Antara mereka ialah Encik Irwan Kamsan, 46 tahun, seorang penduduk Geylang Serai lebih 10 tahun, merasakan reka bentuk moden gerbang itu mencerminkan kemajuan Geylang Serai setakat ini.

“Walaupun moden, saya masih boleh nampak unsur budaya Melayu dalam reka bentuknya kerana ia mengingatkan saya atap rumah kampung,” kongsinya sambil memperhatikan anaknya bermain di tempat permainan baru di Joo Chiat Complex.

Seorang lagi, pelajar Sekolah Menengah Woodlands, Herny Quraisya Muhammad Jamil, 14 tahun, berkata:

“Saya rasa reka bentuknya sebati dengan persekitaran kerana sudut tajam sepadan dengan bumbung Pasar Geylang Serai dan Wisma Geylang Serai.

“Saya suka bagaimana saiznya secara semula jadi menarik perhatian orang ramai yang berjalan di situ.”

Seorang pengunjung Bazar Lambak di Haig Road, Herny Quraisya Muhammad Jamil berasa bahawa reka bentuk Gerbang Ikonik sebati dengan persekitaran kerana sudut tajamnya sepadan dengan bumbung Pasar Geylang Serai dan Wisma Geylang Serai.
Seorang pengunjung Bazar Lambak di Haig Road, Herny Quraisya Muhammad Jamil berasa bahawa reka bentuk Gerbang Ikonik sebati dengan persekitaran kerana sudut tajamnya sepadan dengan bumbung Pasar Geylang Serai dan Wisma Geylang Serai. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI
Penduduk lama Geylang Serai, Encik Irwan Kamsan, berasa reka bentuk moden Gerbang Ikonik mencerminkan kemajuan Geylang Serai. Bersamanya ialah isterinya, Cik Siti Raudah Saharoni, dan dua anaknya, Ishak Irwan dan Sarah Irwan.
Penduduk lama Geylang Serai, Encik Irwan Kamsan, berasa reka bentuk moden Gerbang Ikonik mencerminkan kemajuan Geylang Serai. Bersamanya ialah isterinya, Cik Siti Raudah Saharoni, dan dua anaknya, Ishak Irwan dan Sarah Irwan. - Foto ihsan IRWAN KAMSAN

Tempat permainan baru adalah antara kemudahan baru dibina di bawah projek naik taraf GSCB, bersebelahan dengan tempat turun dan naik kenderaan yang turut dinaik taraf bagi mengurangkan kesesakan kenderaan.

“Dahulu tempat turun dan naik kenderaan cuma ada satu lorong, sekarang dah ada dua lorong. Ini bagus kerana kenderaan di belakang boleh keluar tanpa perlu menunggu kenderaan di depan selesai menurunkan atau menerima penumpang,” tambah Encik Irwan.

Laluan pejalan kaki antara Blok 1 dengan Blok 2 di Joo Chiat Complex juga disuntik nafas baru dengan cat lantai berwarna hijau, merah dan kuning.

Terdapat beberapa bangku baru dipasang di pusat beli-belah itu untuk membolehkan pengunjung berehat ketika berbelanja. Ini termasuk di luar kedai-kedai sepanjang Changi Road yang berdekatan dengan jambatan atas.

Pengurus Al-Barakah, Cik Saffiah Harun, gembira pelanggan kini boleh berehat di bangku baru yang dipasang luar kedai di Joo Chiat Complex.
Pengurus Al-Barakah, Cik Saffiah Harun, gembira pelanggan kini boleh berehat di bangku baru yang dipasang luar kedai di Joo Chiat Complex. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI
Kakitangan Fatimah Trading, Cik Novi Mardiani, menjangkakan lebih ramai pelanggan akan mengunjungi Geylang Serai disebabkan kerja naik taraf di Joo Chiat Complex dan Pasar Geylang Serai.
Kakitangan Fatimah Trading, Cik Novi Mardiani, menjangkakan lebih ramai pelanggan akan mengunjungi Geylang Serai disebabkan kerja naik taraf di Joo Chiat Complex dan Pasar Geylang Serai. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Antara peniaga yang gembira dengan pemasangan bangku-bangku baru di sana ialah pengurus kedai Al-Barakah, Cik Saffiah Harun, 66 tahun.

“Dahulu, ramai pelanggan tanya jika mereka boleh pinjam kerusi supaya boleh duduk buat seketika... ada yang sanggup mencangkung di luar kedai kerana penat berdiri.

“Sejak bangku baru dipasang kira-kira sebulan lepas, saya perhatikan lebih ramai keluarga datang ke sini. Ini bagus kerana Joo Chiat Complex bukan sahaja tempat beli-belah, ia juga tempat untuk masyarakat berkumpul,” katanya.

Ruang di pintu masuk utama Joo Chiat Complex juga telah diubah suai dengan kanopi kaca. Dinamakan Plaza Perayaan, ia boleh digunakan untuk menganjurkan acara awam dan kegiatan kebudayaan.

Cik Novi Mardiani, 39 tahun, kakitangan di kedai Fatimah Trading, sangat mengalu-alukan pelbagai acara di Plaza Perayaan pada masa hadapan kerana ia dengan semula jadi dijangka menarik lebih ramai pengunjung ke Joo Chiat Complex.

“Sebagai peniaga, saya amat teruja dengan perubahan di Geylang Serai. Apabila pasar dibuka tidak lama lagi dan dengan kerja naik taraf Joo Chiat Complex, saya rasa lebih ramai orang akan datang ke Geylang Serai untuk membeli-belah,” ujarnya.

Pasar Geylang Serai, yang kini ditutup untuk kerja naik taraf hingga 31 Oktober, juga menerima suntikan nafas baru.

Laluan pejalan kaki di sepanjang pintu masuk pasar telah diubah suai dan dijadikan laluan kongsi bagi pejalan kaki dan penunggang berbasikal.

Menurut Jawatankuasa GSCB, laluan kongsi baru itu akan menambah baik ketersambungan GSCB kepada Rangkaian Penghubung Taman (PCN) Singapura yang lebih luas.

Terdapat juga tempat duduk berteduh di sepanjang laluan kongsi tersebut untuk pengunjung pasar berehat.

Selain itu, tempat turun dan naik kenderaan telah diperluaskan bagi mengurangkan kesesakan kenderaan.

Fasa untuk Projek Suntikan Nafas Baru Geylang Serai

Fasa 1: Pembinaan Anjung@WGS

  1. Feb 2021 – Panggilan untuk tender
  2. Mac 2021 – Panggilan untuk tender ditutup
  3. Apr 2021 – Tender diberikan kepada kontraktor terpilih
  4. Mei 2021 – Pembinaan bermula
  5. Jul 2022 – Pembukaan rasmi

Fasa 2: Kerja Naik Taraf di Joo Chiat Complex dan Pasar Geylang Serai

  1. Gerbang Ikonik dibina di simpang empat antara Joo Chiat Complex, Pasar Geylang Serai dan Wisma Geylang Serai
  2. Jalan raya di simpang tersebut turut disuntik nafas baru dengan cat lantai berwarna hijau dan merah
  3. Tempat duduk, tempat permainan kanak-kanak dan tempat turun dan naik kenderaan baru juga dibina di Joo Chiat Complex
  4. Tempat duduk berteduh baru dibina, serta tempat turun dan naik kenderaan diperluaskan di Pasar Geylang Serai

Rancangan untuk Fasa 3 (Tanjong Katong Complex) dan Fasa 4 (Kelab Masyarakat Kampong Ubi) akan diumumkan pada masa terdekat

“Saya rasa reka bentuknya sebati dengan persekitaran kerana sudut tajam sepadan dengan bumbung Pasar Geylang Serai dan Wisma Geylang Serai. Saya suka bagaimana saiznya secara semula jadi menarik perhatian orang ramai yang berjalan di situ.”
Pengunjung Bazar Lambak di Haig Road, pelajar, Herny Quraisya Muhammad Jamil, tentang reka bentuk Gerbang Ikonik.

“Dahulu tempat turun dan naik kenderaan cuma ada satu lorong, sekarang ada dua lorong. Ini bagus kerana kenderaan di belakang boleh keluar tanpa perlu menunggu kenderaan depan selesai menurunkan atau menerima penumpang.”
Penduduk lama Geylang Serai, Encik Irwan Kamsan, tentang tempat turun dan naik kenderaan baru di Joo Chiat Complex.

“Sejak bangku baru dipasang kira-kira satu bulan lepas, saya perhatikan lebih ramai keluarga datang ke sini. Ini bagus kerana Joo Chiat Complex bukan sahaja tempat beli-belah, ia tempat untuk masyarakat berkumpul.”
Pengurus kedai Al-Barakah, Cik Saffiah Harun, tentang bangku baru di Joo Chiat Complex.

Sebagai peniaga, saya amat teruja dengan perubahan di Geylang Serai. Apabila pasar dibuka tidak lama lagi dan dengan kerja naik taraf Joo Chiat Complex, saya rasa lebih ramai orang akan datang Geylang Serai untuk membeli-belah.”
Kakitangan di kedai Fatimah Trading, Cik Novi Mardiani, tentang kerja naik taraf di Geylang Serai
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg