BEBERAPA anggota parlimen (AP) menggesa agar Garis Panduan Tiga Pihak berkaitan aturan kerja fleksibel (FWA)- yang bertujuan menggalak lebih banyak aturan kerja fleksibel- dilaksanakan secepat mungkin demi kebaikan golongan wanita.
Garis panduan yang bakal dilaksana menjelang 2024 menetapkan bahawa majikan perlu mempertimbang permintaan pekerja bagi aturan FWA secara teliti dan adil.
Meskipun lebih banyak masa diperlukan bagi memantau pelaksanaan garis panduan itu, ia perlu dimulakan secepat mungkin jika dapat menggalak penyertaan wanita dalam tenaga kerja, menurut Timbalan Speaker Parlimen, Cik Jessica Tan.
Katanya: "Kenapa perlu kita tunggu hingga 2024 untuk perkenal Garis Panduan Tiga Pihak ini? Ini bermakna kita perlu menunggu satu setengah tahun lagi.
"Meskipun masa diperlukan bagi membuka ruang perundingan dan mengusahakan garis panduan baru ini, jika kita benar-benar percaya FWA akan memudahkan lebih ramai wanita menyertai tenaga kerja, bukan kah kita boleh mula lebih awal dan belajar dari pengalaman ini dan memperhalusinya?"
Garis panduan yang dilakarkan dalam Kertas Putih mengenai Pembangunan Wanita Singapura itu diharap dapat membuat pekerja lebih selesa meminta aturan kerja fleksibel dari majikan dan pada masa yang sama mengekalkan hak majikan menilai permintaan berdasarkan keadaan dan keperluan tertentu.
Aturan kerja fleksibel merupakan sesuatu yang telah lama diperjuangkan Pergerakan Buruh sejak tahun 90-an disebabkan peranan yang dimainkan wanita sebagai penjaga dalam keluarga, menurut Cik Yeo Wan Ling (GRC Pasir Ris-Punggol).
Cik Yeo, yang juga memikul tanggungjawab sebagai Pengarah Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) mengalu-alukan saranan yang dibentangkan Kertas Putih untuk menjadikan aturan kerja fleksibel satu kebiasaan di tempat kerja.
"Kami juga menggesa majikan untuk melaksanakan langkah-langkah yang akan memastikan keadilan dalam penilaian dan pengurusan prestasi bagi pekerja di bawah FWA.
"Pekerja juga perlu jelas tentang tanggungjawab, jangkaan dan tarikh tamat tugas yang diberikan kepada mereka di bawah aturan kerja itu," kata Cik Yeo.
Meskipun garis panduan baru itu hanya akan dilaksana menjelang 2024, lebih 10,000 syarikat telah menyesuaikan amalan mereka berdasarkan Piawai Tiga Pihak berkaitan FWA, menurut Menteri Negara (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia) Cik Gan Siow Huang.
Katanya: "Ini meliputi satu dalam empat pekerja di Singapura hari ini.
"Kami mengalu-alukan lebih banyak syarikat yang bersedia untuk sama-sama menyesuaikan amalan mereka, meskipun sebelum garis panduan diperkenal pada 2024."
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg