Sekitar 5,000 hadirin dijangka membanjiri Geylang Serai antara 5 dengan 8 September ini bagi menyaksikan pelbagai persembahan seni Melayu, seni visual, teater, tarian, puisi dan pameran yang bakal berlangsung.
Acara yang diadakan sempena dengan cuti sekolah September adalah sebahagian daripada usaha Wisma Geylang Serai (WGS) menganjurkan pesta Jalur Fest 2024 pada 7 September ini – yang akan memberi peluang kepada orang ramai belajar, ketahui dan merasai budaya Melayu.
Pesta kebudayaan itu akan menampilkan 29 kumpulan seni dan 190 peserta, kata WGS.
Selain itu, sebuah bazar yang dinamakan Bazar Lambaak akan membuka tirai pesta kebudayaan tersebut.
Ditempatkan di Haig Road, ia akan menampilkan pelbagai hidangan dan persembahan secara langsung dari 5 hingga 8 September.
Pengunjung dapat menikmati pelbagai pilihan makanan tradisional dan juga hipster dan akan beroperasi dari jam 12 tengah hari hingga 10 malam.
Beberapa artis Malaysia terkenal seperti Bandi Amuk, Rahmat Mega, Shidi Data, dan Ayai Illusi akan membuat persembahan yang akan dihoskan oleh selebriti seberang tambak, Shuk Sahar.
Pada 7 September juga, WGS akan mengadakan satu Pertandingan Dikir Barat.
Ditempatkan di WGS, ia akan menampilkan pameran genre seni Melayu seperti persembahan tarian Melayu, muzik dan permainan tradisional, wayang kulit, silat, seni jalanan, gamelan dan banyak lagi.
Ia akan berlangsung dari jam 5 petang hingga 9.30 malam dan masuk adalah percuma.
Pengunjung juga boleh menikmati pertandingan Dikir Barat yang akan diadakan di Persada Budaya dari jam 12 tengah hari hingga 9 malam.
Berikutan kejayaan acara sulungnya, pertandingan yang dinamakan GeylangGang Dikir 2024, bertujuan memperingati asal usul ‘Dikir Singapura’.
Pertandingan kali ini bakal menampilkan 16 kumpulan berbakat yang akan bersaing untuk juara.
Selain acara ini, pengunjung boleh menikmati Pemasangan Budaya Melayu dan juga menyertai peraduan media sosial di Facebook dan Instagram yang juga dilancarkan pada 7 September.
Pemasangan Kebudayaan Melayu bersaiz besar itu, yang akan dikekalkan sehingga Januari 2025, direka dalam bentuk Sepak Takraw, Gasing, Congkak, dan banyak lagi.
Selain menikmati pameran, pengunjung juga berpeluang menyertai peraduan Facebook dan Instagram #MyGeylangSerai.
Pengunjung boleh mengambil gambar atau video dan memuat naikkannya dengan tanda pagar #MyGeylangSerai untuk berpeluang memenangi edisi terhad monumen kecil Geylang Serai.
Markah tambahan diberikan jika pengunjung memuat naik gambar atau video pada 7 September.
Pesta itu bersesuaian dengan Jalur Budaya Geylang Serai, yang bertujuan mempromosi dan memelihara warisan budaya Melayu sambil memperkaya pengalaman masyarakat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg