SEPATUTNYA, pasangan suami isteri Encik Hassan Ali dan isterinya, Cik Hamidah Abdul Karim, menunaikan haji pada 2020, tetapi malangnya terpaksa menangguhkannya akibat Covid-19.

Namun, dengan Arab Saudi mengumumkan kuota haji yang diperuntukkan bagi jemaah Singapura semalam, Cik Hamidah berharap menjadi antara jemaah yang terpilih untuk menjejak kaki ke tanah suci tahun ini.

Cik Hamidah, yang berusia sekitar 50-an tahun, berkata kuota yang diperuntukkan bagi jemaah Singapura sebanyak 407 itu memang dijangkakannya.

"Saya dan suami saya sering mengikuti berita tentang perkembangan haji.

"Jadi apabila kami membaca dan mendapati jumlah jemaah yang diperuntukkan bagi negara-negara lain, kami sebenarnya sudah melakukan pengiraan sendiri dan mendapati mungkin hanya 400 jemaah dibenarkan pergi untuk Haji tahun ini.

"Ia bukan sesuatu yang mengejutkan bagi kami," kata beliau, yang sudah menanam niat menunaikan haji sejak 2012.

Selaras dengan syarat dan keperluan menunaikan haji tahun ini, Cik Hamidah melahirkan harapan beliau dan suaminya, yang berusia sekitar 60-an tahun, akan diberi peluang untuk menunaikan haji tahun ini.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Masjlis Ugama Islam Singapura (Muis) semalam, ibadah Haji tahun ini akan diperuntukkan bagi jemaah yang berusia 65 tahun ke bawah; diberi vaksin Covid-19 dengan vaksin yang diluluskan Kerajaan Arab Saudi (KSA) dan menyerahkan ujian Rantaian Polimerase (PCR) yang negatif dalam masa 72 jam dari masa bertolak ke Arab Saudi.

"Kami sudah melakukan persiapan sejak dua tahun yang lalu.

"Buku-buku atau maklumat untuk menunaikan haji dengan selamat dan lancar sudah dilakukan ketika itu.

"Apabila kami diperlukan untuk mengambil suntikan penggalak, kami terus mengambilnya dengan tidak membuang masa," katanya, ketika dihubungi semalam.

"Beg yang kami kemaskan untuk menunaikan haji pada 2020 sebenarnya sudah sedia untuk kami pergi saja," ujarnya.

Menunggu untuk surat pengesahan yang memaklumkan sekiranya mereka merupakan jemaah yang berpeluang untuk menunaikan haji, Cik Hamidah melahirkan perasaan ghairah.

"Jika kami dapat menunaikan haji, ini akan menjadi kali pertama kami ke luar Singapura sejak pandemik ini.

"Buat masa ini, kami hanya dapat berdoa dan tawakal kerana kami sudah berusaha untuk melakukan terbaik untuk menjalankan rukun Islam kelima," ujar beliau, yang menjalankan perniagaan gubahan bunga.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti