Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gojek tawar khidmat mesra kanak-kanak

Jan 4, 2023 | 5:30 AM
e0988b8b-c740-49f9-83f5-0becfe811216
-

MEREKA yang mempunyai kanak-kanak berusia empat hingga tujuh tahun dan ingin menempah perjalanan kereta sewa privet akan mempunyai lebih banyak pilihan menerusi Gojek mulai Selasa depan.

Gojek dalam kenyataannya semalam mengumumkan akan melancar khidmat GoCar Kids dan GoCar XL Kids yang dilengkapi tempat duduk bagi kanak-kanak serta pemandu yang dilatih dalam pemasangan tempat duduk itu mulai 12 tengah hari pada 10 Januari ini.

Ia berkata semua kenderaan yang menawarkan kedua-dua khidmat itu akan dilengkapi satu tempat duduk sesuai bagi kanak-kanak setinggi 1 hingga 1.35 meter.

Tempahan GoCar Kids berupaya menampung sehingga tiga penumpang dewasa dan seorang anak kecil, manakala GoCar XL Kids berupaya menampung sehingga lima penumpang dewasa dan seorang anak kecil, kata Gojek.

Ini bermakna ibu bapa dan penjaga yang mempunyai anak kecil kini mempunyai dua lagi pilihan khidmat tempat ke tempat (P2P) selain teksi dan pilihan GrabFamily dan GrabFamily 6 oleh pesaing, Grab.

Mereka yang ingin menempah khidmat kereta sewa privet biasa bagi kanak-kanak perlu menggunakan tempat duduk kanak-kanak milik sendiri.

Untuk menjamin tahap keselamatan optimal bagi penumpang dan kanak-kanak, Gojek berkata pemandu yang mengendali khidmat GoCar Kids dan GoCar XL Kids perlu mempunyai rating sekurang-kurangnya 4.6 bintang serta menjalani latihan dalam talian yang mengesahkan mereka mahir memasang tempat duduk kanak-kanak itu.

Tempat duduk tersebut yang digunakan juga perlu memenuhi keperluan Gojek yang mana hanya jenama produk yang memenuhi sekurang-kurangnya satu piawaian Polis Trafik boleh dipasang dalam kenderaan mereka, kata Gojek.

"Ini menandakan tambahan terkini khidmat Gojek di Singapura, dan menambah lagi komitmen syarikat ini bagi memperluas tawaran khidmatnya serta mempertingkat pengalaman pengguna bagi kedua-dua rakan pemandu dan pengguna," kata Gojek lagi.

Pemandu yang mengendali khidmat tersebut juga berupaya meraih pendapatan lebih tinggi.

Gojek berkata kedua-dua khidmat berkenaan lebih fleksibel bagi rakan pemandu mengendali lebih banyak tempahan oleh penumpang yang mempunyai kanak-kanak, dan ia juga menawarkan tambahan tambang $2 berbanding tambang tempahan biasa GoCar dan GoCar XL.

Tambang lain bagi penumpang termasuk tambang platform dan pemandu serta tambang khidmat bagi pemandu kekal sama.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg