Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Golongan dewasa yang ada autisme perlu lebih sokongan

Jul 20, 2024 | 8:43 PM
Timbalan Perdana Menteri Encik Gan Kim Yong (tengah) bersama Anggota Parlimen GRC Jalan Besar, Cik Denise Phua (tiga dari kanan) dalam acara sempena meraih ulang tahun ke-20 Sekolah Pathlight di Ang Mo Kio pada 20 Julai.
Timbalan Perdana Menteri Encik Gan Kim Yong (tengah) bersama Anggota Parlimen GRC Jalan Besar, Cik Denise Phua (tiga dari kanan) dalam acara sempena meraih ulang tahun ke-20 Sekolah Pathlight di Ang Mo Kio pada 20 Julai. - Foto ST

Singapura telah mencapai banyak kemajuan dalam meningkatkan kesedaran dan sokongan kepada golongan yang mempunyai autisme, namun keperluan mereka amat ketara, kata Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Cik Denise Phua.

Berucap dalam satu pesta di Kampus 2, Sekolah Pathlight di Ang Mo Kio, Cik Phua yang juga pengasas bersama Sekolah Pathlight, berkata masih lagi terdapat “jurang ketara” bagi memenuhi keperluan individu yang mempunyai autisme, terutamanya bagi golongan dewasa dalam spektrum itu.

Pesta dinamakan Sambutan Sangat Istimewa 2024 – diadakan pada 20 Julai sempena ulang tahun ke-20 Sekolah Pathlight – bermatlamat mengumpul dana sebanyak $1 juta untuk menyokong program dan khidmat ditawarkan Pusat Sumber Autisme (ARC) Singapura.

Cik Phua, selaku Presiden ARC Singapura, berkata pihaknya terus perlu mengumpul dana sebab kebanyakan khidmat yang ditawarkan kepada golongan autistik dewasa sedang “beroperasi dalam kerugian”.

Ini termasuk bantuan bagi menawarkan khidmat pekerjaan, perusahaan sosial serta latihan dan tempat tinggal bagi mereka.

“Sekitar 95 peratus rizab kami sama ada telah diperuntuk bagi program-program tertentu yang perlu ditaja atau perlu diketepikan bagi kampus sekolah masa depan kami,” katanya merujuk kepada kampus Pathlight akan datang di Tampines, Punggol dan kemudahan tambahan di kampus sedia ada di Ang Mo Kio.

“Autisme itu sepanjang hayat. Ramai kanak-kanak yang telah kami menawarkan khidmat kini berada dalam fasa dewasa dan lebih ramai lagi sedang membesar.

“Kami perlu memperluas tawaran khidmat dan sokongan meliputi seluruh hayat mereka agar dapat memperkasa golongan dewasa yang ada spektrum autisme supaya mereka dapat menghayati hidup yang baik dan berkualiti dalam masyarakat kami,” tegas Cik Phua lagi.

Pengumpulan dana bagi menyokong ARC Singapura itu akan berlangsung sehingga 31 Ogos 2024.

Mereka yang berminat menyumbang derma boleh berbuat demikian menerusi laman avsw.autism.org.sg.

Acara tersebut menerima hampir 3,000 tetamu yang perlu membeli kupon untuk membeli produk yang ditawarkan pelbagai vendor, termasuk perusahaan sosial The Art Faculty dan kafe Professor Brawn.

Satu kumpulan muzik acapella ala jaz terkemuka dari Universiti Harvard, The Harvard Din & Tonics turut diundang membuat tiga set persembahan pada acara itu yang menarik perhatian ramai penonton terutamanya belia dan remaja.

Cik Loh Wai Mooi, pengerusi jawatankuasa pengumpulan dana ARC Singapura, memberitahu hadirin bahawa sebanyak $427,000 telah berjaya dikumpul hingga 7.20 malam 20 Julai.

Cik Phua dalam satu wawancara bersama media berkata lebih banyak sokongan diperlukan untuk menyediakan sistem jangka masa panjang bagi individu autistik sepanjang hayat.

Ini meliputi mencari huraian bagi mendidik individu dalam spektrum tersebut dengan kemahiran hidup agar ditawarkan pilihan tempat tinggal, perancangan bagi golongan pengasuh untuk membuat penyediaan bagi anak-anak mereka yang mempunyai autisme sebelum mereka meninggal dunia, serta pembelajaran sepanjang hayat dan pekerjaan.

“Banyak yang telah dilakukan bagi golongan anak muda (yang mempunyai autisme).

“Tetapi soalnya adalah selepas mereka mencecah usia 21 tahun, sehingga jangka hayat misalnya 85 tahun. Di situlah yang perlu kami melakukan lebih untuk menyediakan sistem tersebut agar segala apa yang telah kami menawarkan bagi mereka pada peringkat awal kehidupan mereka tidak terbazir.

“Kami mahukan mereka bukan sahaja sekadar hidup sehaja tetapi bagi mereka menghayati hidup yang berkualiti dan secara berdikari.”

Tetamu terhormat pada acara tersebut, Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, dalam ucapannya dalam pesta itu telah memberi pujian kepada Sekolah Pathlight atas sokongannya kepada golongan keperluan khas selama 20 tahun serta sumbangan relawan dan anggota lembaga ARC Singapura.

Pathlight merupakan sekolah pertama di Singapura yang memberi tumpuan kepada autisme dengan menawarkan program campuran unik kurikulum akademik biasa serta kemahiran hidup dan serta dalam bidang seni, teknologi maklumat (IT) dan tarian.

“Pemerintah bertekad membina sebuah Singapura yang inklusif, bagi semua orang – termasuk golongan keperluan khas – dapat membesar dan maju,” katanya Encik Gan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg