Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Google sekat hampir 900,000 percubaan muat turun aplikasi berisiko

Ciri perlindungan penipuan dapat cegah peranti Android digodam
Aug 15, 2024 | 6:25 PM
Sidang kedua ‘Safer With Google’ (Lebih Selamat Dengan Google) yang diadakan pada 15 Ogos, dihadiri (dari kiri) Naib Presiden, Kepercayaan & Keselamatan Google, Cik Laurie Richardson; Pengarah Urusan Google Singapura, Encik Ben King;  Menteri Negara (Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam; dan Naib Presiden, Platform & Peranti, Kerjasama di rantau Asia Pasifik (Apac), Cik Karen Teo.
Sidang kedua ‘Safer With Google’ (Lebih Selamat Dengan Google) yang diadakan pada 15 Ogos, dihadiri (dari kiri) Naib Presiden, Kepercayaan & Keselamatan Google, Cik Laurie Richardson; Pengarah Urusan Google Singapura, Encik Ben King; Menteri Negara (Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam; dan Naib Presiden, Platform & Peranti, Kerjasama di rantau Asia Pasifik (Apac), Cik Karen Teo. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Pengguna Android di Singapura telah membuat hampir 900,000 percubaan memuat turun aplikasi telefon bimbit berisiko tinggi sejak Februari ini, yang boleh menyebabkan peranti mereka terdedah kepada digodam.

Ini berdasarkan angka terkini dikeluarkan Google pada 15 Ogos.

Percubaan sedemikian untuk memasang aplikasi sedemikian telah dibuat pada lebih 200,000 peranti Android dan telah disekat oleh ciri perlindungan penipuan Google yang dipertingkat dalam bentuk Google Play Protect.

Ini adalah antara beberapa inisiatif yang diumumkan Google pada 15 Ogos, semasa persidangan kedua Safer With Google (Lebih Selamat Dengan Google), yang diadakan di pejabatnya yang terletak di Mapletree Business City.

Persidangan pertama telah diadakan pada 7 Julai 2023, di tempat yang sama.

Daya usaha ini dibahagikan kepada tiga tonggak, iaitu menggalakkan celik digital dalam kalangan segmen yang terdedah serta membina daya tahan siber dan kepercayaan dalam ekosistem mudah alih.

Satu lagi tonggak adalah memerangi pelakon jahat dengan komuniti dan teknologi kita.

Semasa berucap di sidang tersebut, Menteri Negara (Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, menekankan kepentingan kerjasama antara pemerintah, industri dengan masyarakat dalam usaha mewujudkan ekosistem dalam talian sesuatu yang lebih sihat dan selamat.

“Pihak pemerintah dan rakan kongsi kami telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk mengatasi penipuan, yang ternyata berkesan dalam mengurangkan bilangan penipuan yang melibatkan perisian hasad kepada 35 kes pada suku kedua 2024, turun daripada 60 kes pada suku pertama 2024.

“Namun begitu, pengguna juga perlu memainkan peranan mereka untuk melindungi diri sendiri.

“Kami menggalakkan pemain industri teknologi lain untuk turut serta dan bekerjasama dengan pemerintah dalam membangunkan penyelesaian inovatif untuk memerangi penipuan,” ujar beliau.

Dibangunkan Google dan Agensi Keselamatan Siber (CSA), ciri itu juga akan melindungi pengguna telefon bimbit daripada penipuan yang melibatkan perisian hasad, dengan secara langsung ia akan menyekat muat turun aplikasi yang berpotensi berisiko.

Ia juga telah diperkenalkan secara global untuk pertama kali di Singapura.

Ternyata, aplikasi berisiko dimuat turun di platform Android daripada sumber pihak ketiga dan bukan rasmi, serta dilakukan menerusi proses muat sisi.

Proses muat sisi melibatkan pemindahan fail antara dua peranti, khususnya antara komputer peribadi dengan peranti mudah alih yang lain.

Untuk memperkukuh langkah antipenipuan, aplikasi pemerintah seperti Singpass, ScamShield, dan CPF Mobile akan memaparkan lambang ‘Pemerintah’ di Google Play Store.

Menurut Google, ini adalah untuk memastikan kesahihan kepada pengguna dan mengelakkan mereka daripada memasang aplikasi tiruan yang direka untuk mencuri maklumat peribadi mereka.

Dalam aspek kemasyarakatan pula, cabang dermawan Google, Google.org, akan menyediakan AS$2 juta ($2.6 juta) kepada perusahaan sosial tempatan, Bamboo Builders, untuk mendidik 100,000 rakyat Singapura menentang penipuan dan ancaman dalam talian menjelang 2026 di bawah program SG ScamWISE.

Ini merupakan bantuan terbesar diberikan Google kepada sebuah perusahaan sosial Singapura, dalam sejarah firma teknologi itu berada di sini sejak 2007.

Semasa dihubungi Berita Harian (BH), Pengarah Urusan Google Singapura, Encik Ben King, menerangkan pemilihan Bamboo Builders selaku penerima bantuan bernilai AS$2 juta itu.

Menurut beliau, rangkaian hubungan mereka yang kukuh dalam masyarakat selaras dengan matlamat Google untuk menyokong badan yang mempunyai kehadiran yang mendalam.

“Kami juga mencari peluang untuk menyokong badan yang sangat berakar umbi dalam komuniti yang mereka layani, dan membantu mereka dengan sumber kami melalui cabang dermawan kami, Google.org.

“Dengan bantuan ini, Bamboo Builders akan dapat memperluas capaian mereka dan membina kejayaan sedia ada untuk melindungi 100,000 rakyat Singapura daripada penipuan dan ancaman dalam talian, dalam tempoh dua tahun akan datang,” ujar beliau.

Justeru, kepentingan usaha untuk menjadikan Singapura sebagai persekitaran digital yang lebih selamat didorong oleh kadar kes penipuan yang tinggi di negara ini.

Menurut satu kajian bersama oleh badan bukan raih untung, Global Anti-Scam Alliance (Gasa), dan penyedia perkhidmatan data ScamAdviser, penipu telah mencuri anggaran sebanyak AS$1.02 trilion di seluruh dunia antara Ogos 2022 dengan Ogos 2023.

Kajian tersebut mendapati bahawa mangsa penipuan di Singapura mengalami kerugian terbesar secara purata, iaitu AS$4,031 setiap mangsa, manakala Switzerland berada di tempat kedua dengan kerugian purata AS$3,767 setiap mangsa, diikuti oleh Austria dengan kerugian purata AS$3,484.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg