Topik diikuti
Pergi ke BHkuGovTech hentikan 93 pegawai dalam fasa pertama penyusunan semula
GovTech hentikan 93 pegawai dalam fasa pertama penyusunan semula
GovTech beralih ke model operasi baru; penyusunan semula akan jejas 7-9% pekerja dalam 2 tahun
GovTech hentikan 93 pegawai dalam fasa pertama penyusunan semula
Seramai 93 pegawai Agensi Teknologi Pemerintah Singapura (GovTech) telah dimaklumkan bahawa mereka akan diberhentikan kerja pada 15 Julai.
Mereka merupakan kumpulan pertama yang terjejas oleh latihan penyusunan semula yang dijalankan oleh lembaga berkanun itu dalam tiga fasa secara bertahap-tahap sepanjang dua tahun akan datang.
Ini merupakan kali pertama dalam tempoh sekitar 20 tahun di mana pemberhentian kerja secara besar-besaran melibatkan kakitangan awam berlaku di Singapura.
Fasa pertama penyusunan semula itu menjejas pasukan yang beroperasi di ibu pejabat GovTech dan juga pasukan yang dikerahkan ke agensi pemerintah, dengan sekitar 305 peranan telah dikenal pasti, termasuk 93 pegawai yang diberhentikan itu.
Daripada 93 pegawai yang diberhentikan itu, 36 akan meninggalkan lembaga itu dengan serta-merta manakala baki 57 bakal pergi kemudian.
Sementara itu, 102 pegawai kekal dalam peranan semasa, manakala 110 yang lain akan menjalani program perantisan untuk menggalas peranan baru.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada 15 Julai, GovTech berkata sekitar 7 hingga 9 peratus peranan kerja dalam lembaga itu dijangka akan terjejas oleh peralihan kepada model operasi baru.
Ini katanya akan menjejas “campuran peranan dan keupayaan yang diperlukan GovTech, meskipun sedang permintaan keseluruhannya bagi bakat digital terus berkembang”.
GovTech menegaskan bahawa penyusunan semula itu sama sekali “tidak dipacu oleh kecerdasan buatan (AI), mahupun langkah pemotongan kos atau pengecilan saiz pertubuhan”.
Sebaliknya, ia merupakan anjakan strategik bagi GovTech mengambil tanggungjawab lebih besar bagi produk dan platform digital yang menggerakkan perkhidmatan awam – apa yang disebutkannya sebagai peralihan daripada “model penyampaian projek sekali sahaja kepada model pemilikan produk yang berterusan”.
Contoh produk dan platform digital itu termasuk Singpass dan Baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC), yang perlu dibina, dikendalikan dan diperbaiki oleh pasukan secara berterusan dan dengan tanggungjawab penuh – bukan sekadar dilakukan sekali dan diserahkan kepada vendor.
“Ini bermakna mengambil tanggungjawab menyeluruh yang lebih besar ke atas produk dan platform digital yang menggerakkan perkhidmatan awam, di samping terus bekerjasama dengan pihak industri di mana vendor membawa kepakaran khusus.
“Anjakan strategik ini dipacu oleh kerumitan dan skala perkhidmatan digital pemerintah yang semakin meningkat.
“Langkah ini akan memperkukuh keupayaan kami untuk merealisasikan visi Negara Bijak kita, di mana teknologi berfungsi demi kebaikan awam. Ia sama sekali tidak dipacu oleh AI, mahupun langkah pemotongan kos atau pengecilan saiz pertubuhan.
“Transformasi ini akan membolehkan penyediaan perkhidmatan digital yang lebih dipercayai, selamat, dan responsif untuk rakyat, yang dibina serta ditambah baik dengan lebih cepat oleh pasukan yang memiliki produk yang mereka sampaikan setiap hari,” kata jurucakap GovTech.
Sedang lebih banyak produk dibangunkan dan dikendalikan secara dalaman, GovTech berkata kadar peranan berkaitan pengurusan projek tradisional dan pengurusan vendor akan berkurangan secara berperingkat.
Sebaliknya, lembaga itu akan menggajikan lebih ramai jurutera sofwe, pengurus produk, pereka, pakar data, pakar keselamatan siber dan jurutera platform sedang ia beralih ke model operasi baru.
Pegawai yang peranan kerja mereka terjejas mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjalani perantisan dan latihan semula untuk menggalas peranan baru dalam GovTech, dan mencari peranan alternatif di agensi pemerintah yang lain.
Bagi yang diberhentikan kerja, mereka akan disediakan pakej sokongan menyeluruh dengan kerjasama kesatuan, merangkumi sokongan kewangan dan peralihan, bimbingan kerjaya dan bantuan penempatan kerja.
Ini termasuk bayaran pampasan berupa gaji sebulan bagi setiap tahun perkhidmatan, dihadkan pada 25 tahun, dan bayaran tambahan tiga bulan gaji.
Dalam nota oleh pengerusi GovTech, Encik Chng Kai Fong, kepada kakitangannya pada 15 Julai, beliau telah menjelaskan sebab-sebab mengapa penyusunan semula itu perlu dijalankan dan menyatakan sokongan yang disediakan untuk pekerja yang terjejas.
Beliau menambah bahawa pihaknya boleh sahaja memilih untuk melanjutkan tempoh peralihan selama bertahun-tahun dan bergantung pada pengurangan kakitangan secara semula jadi.
Namun, mereka terpaksa mengambil keputusan yang sukar itu kerana “setiap tahun kelewatan akan menyebabkan sistem-sistem kritikal menjadi semakin lama, sekali gus melebarkan lagi jurang antara apa yang diperlukan oleh rakyat Singapura dengan apa yang mampu disampaikan oleh model sedia ada kami”.
“Kepada rakan sekerja yang bakal pergi: sistem yang telah anda bangunkan sedang beroperasi sepenuhnya hari ini dan berkhidmat untuk rakyat Singapura. Sumbangan tersebut akan terus berkekalan dan kekal menjadi sebahagian daripada kisah GovTech.
“Saya memohon maaf atas gangguan yang berlaku kepada anda dan keluarga anda. Terima kasih atas segala apa yang telah anda berikan kepada GovTech dan Singapura.
“Kepada rakan sekerja yang kekal bersama kami: kita terhutang budi kepada mereka yang pergi untuk memastikan transformasi ini benar-benar berjaya, dan bukannya sekadar satu lagi penyusunan semula di atas kertas,” katanya dalam nota itu.
Dalam kenyataannya, Setiausaha Agung Gabungan Kesatuan Pekerja-Pekerja Badan Berkanun (Ausbe), Encik Gabriel Ng, berkata pihak mereka telah dimaklumkan awal tentang rancangan penyusunan semula itu dan telah bekerja rapat dengan GovTech untuk menyokong pegawai yang terjejas.
Ini termasuk mengenal pasti alternatif kepada pemberhentian kerja, termasuk peluang latihan semula, perantisan dan pengerahan semula.
Bagi yang diberhentikan, kesatuan itu berjaya merundingkan pakej sokongan dipertingkat yang melangkaui peruntukan dalam Perjanjian Kolektif.
Sementara itu, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pula berkata bahawa Agensi Pembangunan Kemahiran dan Tenaga Kerja (SWDA) sedang bekerja rapat dengan GovTech, Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) dan agensi awam lain untuk mempermudahkan penempatan semula dalam sektor awam melalui nasihat kemahiran, bimbingan kerjaya dan pemadanan kerja.
