Topik diikuti
Pergi ke BHkuGovTech: Khidmat Microsoft Outlook pemerintah pulih sepenuhnya
Microsoft mohon maaf atas gangguan yang jejas ribuan pengguna seluruh dunia
GovTech: Khidmat Microsoft Outlook pemerintah pulih sepenuhnya
Perkhidmatan Microsoft Outlook bagi pemerintah telah pulih sepenuhnya, kata Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech) Singapura pada 14 November.
Dalam satu kenyataan, jurucakap GovTech berkata:
“Khidmat Microsoft Outlook bagi pemerintah Singapura telah pulih sepenuhnya sejak 11 malam pada 13 November. Kami mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas kesabaran dan pemahaman mereka.”
Pengumuman itu dibuat sehari selepas beberapa lembaga berkanun dan agensi pemerintah terjejas akibat gangguan sistem Microsoft yang melibatkan ratusan ribu pengguna di serata dunia.
Penguasa Hasil Mahsul Singapura (Iras), Penguasa Tanah Singapura (SLA), SingHealth dan Pasukan Polis Singapura (SPF) memaklumkan dalam hantaran berasingan di Facebook pada lewat malam 13 November dan pagi 14 November bahawa perkhidmatan e-mel mereka telah kembali beroperasi seperti biasa.
Sementara itu, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam satu hantaran di Facebook pada tengah hari 14 November berkata pihaknya telah menyambung semula maklum balas bagi permohonan perkhidmatan yang dihantar menerusi FormSG.
FormSG merupakan wadah digital pemerintah yang membolehkan pegawai awam menghasilkan borang digital bagi tujuan pengumpulan data secara selamat.
Kastam Singapura turut memaklumkan di Facebook bahawa penghantaran borang melalui FormSG agensi itu telah disambung semula.
Bank seperti DBS, UOB dan Maybank turut mengumumkan di laman Facebook masing-masing bahawa perkhidmatan e-mel mereka telah kembali pulih.
Pada 13 November (waktu Amerika Syarikat), Microsoft memaklumkan bahawa perkhidmatannya telah pulih sepenuhnya, termasuk aplikasi Teams, Outlook dan Copilot, lapor Reuters.
Perkembangan ini sekali gus menamatkan gangguan sejagat yang melumpuhkan komunikasi dalam talian bagi sektor perniagaan dan pemerintah selama lebih 24 jam.
Dalam satu kenyataan media pada 14 November, jurucakap Microsoft memohon maaf atas gangguan yang berlaku.
“Kami amat kesal atas gangguan yang disebabkan oleh insiden ini terhadap para pelanggan dan rakan kongsi kami. Kami sedar akan kepercayaan yang mereka letakkan terhadap perkhidmatan kami dan kami menggalas tanggungjawab tersebut dengan penuh serius,” kata jurucakap berkenaan.
Jurucakap itu menambah bahawa Microsoft menyaksikan “pemulihan dan kestabilan meluas” merentasi perkhidmatannya serta menegaskan bahawa isu berkenaan tidak berkait dengan serangan siber mahupun ejen kecerdasan buatan (AI).
“Insiden ini berpunca daripada masalah semasa proses naik taraf keupayaan rangkaian sebelum ini, yang timbul susulan perubahan rangkaian baru-baru ini.”
Jurucakap itu turut berkata Microsoft akan menyediakan laporan lengkap susulan insiden berkenaan sebaik sahaja semakan mereka selesai.
Aduan mengenai masalah Microsoft Outlook memuncak dengan 1,135 laporan sekitar 9.30 pagi di Singapura pada 13 November, sebelum reda secara beransur-ansur kepada 347 laporan pada kira-kira 8.45 malam pada hari yang sama.
Selain agensi pemerintah, sektor privet dan pendidikan turut terjejas akibat gangguan tersebut, dengan bank-bank setempat melaporkan gangguan pada perkhidmatan e-mel, namun operasi perbankan utama tidak terjejas.
Perkhidmatan e-mel bagi Institut Teknologi Singapura (SIT) dan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) turut terjejas akibat gangguan berkenaan.
Gangguan berkenaan merupakan antara yang paling lama dalam sejarah Microsoft serta gangguan kedua terhadap perkhidmatannya pada 2026, lapor Reuters.
Microsoft berkata gangguan tersebut secara khusus menjejas ciri-ciri yang berkait dengan Exchange Online – hab e-mel dan penjadualan berasaskan awan syarikat itu – manakala aplikasi lain yang tiada kaitan dengannya kekal beroperasi seperti biasa.
Reuters melaporkan bahawa Downdetector merekodkan lebih 7.4 juta laporan di seluruh dunia, dengan angka tertinggi mencecah hampir 20,000 aduan seminit – iaitu lebih 1,500 kali ganda daripada paras normal.