Topik diikuti
Pergi ke BHkuGrab ke JB kini boleh ditempah 6 jam lebih awal; diskaun 30% sempena cuti sekolah
Grab ke JB kini boleh ditempah 6 jam lebih awal; diskaun 30% sempena cuti sekolah
Grab ke JB kini boleh ditempah 6 jam lebih awal; diskaun 30% sempena cuti sekolah
Grab kini memendekkan tempoh tempahan awal perjalanan rentas sempadan melalui aplikasinya kepada sekurang-kurangnya enam jam, berbanding 12 jam sebelum ini, sekali gus membolehkan para penumpang menetapkan jadual lebih hampir dengan waktu berlepas.
Sejak melancarkan perkhidmatan teksi rentas sempadan pada 4 Mei, syarikat itu telah merekodkan lebih 1,000 perjalanan sehingga 29 Mei.
Sejajar dengan janji untuk “meningkatkan pengalaman perjalanan,” Grab turut memperkenalkan ciri baharu, iaitu pengguna akan menerima pemberitahuan segera (‘push notification’) untuk menempah perjalanan pulang sebaik sahaja tempahan asal disahkan.
Selain itu, bagi semua perjalanan rentas sempadan yang ditempah dari 29 Mei hingga 28 Jun, Grab menawarkan diskaun sebanyak 30 peratus, peningkatan daripada kadar diskaun 20 peratus yang ditawarkan sebelum ini.
Pengarah Kanan Pengangkutan dan Operasi Negara Grab Singapura, Encik Alvin Wee, berkata:
“Menjelang musim cuti sekolah Jun ini, kami menjangkakan peningkatan dalam perjalanan antara Singapura dengan Malaysia dalam kalangan keluarga serta sahabat, dan kami berharap dapat menyokong keperluan perjalanan sedemikian.”
Skim teksi rentas sempadan yang diperbaharui, berkuat kuasa 4 Mei, menawarkan kemudahan baharu. Penumpang ke Johor kini dibenarkan turun di mana-mana lokasi dalam lima kawasan utama: Johor Bahru, Iskandar Puteri, Forest City, Kulai, dan Senai.
Peraturan lama mengehadkan penghantaran ke satu titik sahaja selepas melintasi sempadan - Larkin Sentral bagi teksi Singapura, dan Terminal Ban San Street di Bugis bagi teksi Malaysia.
Dengan integrasi Grab, tempahan kini boleh dibuat dari mana-mana tempat di Singapura ke salah satu daripada lima zon Johor ini.
Walau bagaimanapun, tambang melalui aplikasi Grab lebih tinggi berbanding kadar tetap $80 yang dikenakan oleh teksi empat tempat duduk tradisional untuk laluan dari Terminal Ban San Street ke Larkin Sentral, atau dalam lingkungan 35 kilometer.
Tambang Grab pula bersifat dinamik, berubah mengikut masa, jarak perjalanan, dan faktor musim seperti cuti umum, seperti yang diterangkan di laman web mereka.
Meskipun skim ini menjanjikan keselesaan dan lebih fleksibel, operasi pengambilan penumpang di luar negara asal tetap terhad.
Sebagai contoh, teksi Singapura yang dalam perjalanan pulang dari Malaysia hanya boleh mengambil penumpang di Terminal Larkin Sentral atau pusat beli-belah tertentu: Toppen, The Mall, Mid Valley Southkey, dan Angsana Johor Bahru Mall.
Setiap teksi rentas sempadan berlesen boleh dikenali dengan tanda khas yang mudah dicam pada kedua-dua sisi kenderaan.
Pendaftaran teksi Malaysia bermula dengan huruf ‘H’, manakala teksi Singapura pula menggunakan awalan ‘SH’.
