
DI ambang sambutan Hari Raya Aidilfitri lusa, Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, dan 50 penduduk serta pemimpin akar umbi Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Yuhua tampil menyalur sumbangan buat Tabung Amal Aidilfitri (TAA) menerusi tabung di Tanjong Katong Complex semalam.
Ia adalah bagi menyokong Kempen Amal Ramadan TAA di samping melambangkan usaha kolektif masyarakat berbilang kaum di Singapura ini menyokong usaha membantu golongan yang kurang bernasib baik.
Kali terakhir TAA dapat menerima kunjungan kumpulan aktivis masyarakat sebegini ke lokasi di mana tabungnya ditempatkan adalah pada 2019.
Cik Fu, yang juga Anggota Parlimen Yuhua, dalam ucapan ringkasnya menyifatkan acara menyumbang kepada TAA ini sebagai bermakna buat masyarakat Islam dan bukan Islam yang tampil menderma.
Tiga tahun lalu, aktivis masyarakat Yuhua turut hadir di Joo Chiat Complex untuk memberi sumbangan.
"Ramadan dan Hari Raya bukan setakat satu perayaan tetapi menggambarkan tempoh untuk membuat refleksi spiritual di samping membantu mereka yang memerlukan.
"Kami gembira dapat menjadi sebahagian kerja amal ini yang amat penting dan bermakna," tambah Cik Fu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg