Singapura ‘kekalkan pilihan terbuka’ sama ada akan mengambil tindakan terhadap syarikat yang melanggar undang-undang di bawah Akta Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan, kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, pada 14 Oktober.

“Kami sedang mengumpul data dan kami akan menyemaknya dengan teliti,” kata beliau kepada wartawan sewaktu acara pengagihan pelitup N95 di Kelab Masyarakat Yuhua di Boon Lay pada 9.30 malam.

“Kami berharap pihak berkuasa Indonesia dapat mengawal kebakaran berkenaan.

“2026 merupakan tahun yang amat mencabar disebabkan oleh El Nino.

“Keadaan cuaca amat kering, dan kami sedia maklum bahawa isu ini sangat rumit.

“Kami harapkan yang terbaik buat mereka (Indonesia), dan kami sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan mengikut kemampuan kami,” kata Cik Fu sambil menambah, pihaknya sedang mengekalkan pilihan yang terbuka dan akan membuat pertimbangan tentang data yang dikumpul.

Menurut Cik Fu, tawaran bantuan daripada Singapura masih kekal, dan belum ada sebarang perkembangan terkini daripada pihak Indonesia setakat ini.

Selain itu, beliau menambah Singapura bersedia mengadakan perbincangan di peringkat Asean, bersama rakan-rakan sejawatan.

Sementara itu, pengagihan pelitup N95 telah dipercepat pada petang 14 Oktober walaupun bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) belum mencecah lebih 200 pada waktu itu.

Mengulas tentang perkara tersebut, Cik Fu berkata bacaan PM2.5 yang telah melonjak dengan mendadak dan ramalan bahawa bacaan itu akan terus meningkat lebih tinggi merupakan faktor utama pengagihan dipercepat.

“Kita lihat bagaimana bacaan PM2.5 setiap jam telah meningkat dengan mendadak, khususnya di bahagian barat Singapura.

“Malah, pada 4 petang, bacaannya telah mencecah lebih 250 dan ramalan menunjukkan ia akan terus meningkat dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam juga akan turut melonjak sama.

“Jadi, dengan mengambil langkah yang lebih berjaga-jaga, kami mengerahkan perancangan pengagihan pelitup itu lebih awal,” kata beliau.

Pada 3 petang, 14 Oktober, bacaan PM2.5 satu jam di kawasan barat mencecah 288, iaitu bacaan tertinggi setakat ini pada 2026.

Bacaan PM2.5 berada pada tahap tinggi bagi kawasan tengah iaitu 218; selatan 177; dan timur 208, manakala bacaan 140 di kawasan utara berada pada tahap yang kian meningkat.

Setakat 9 malam pada hari yang sama, bacaan PSI 24 jam di kawasan barat Singapura telah menembusi tahap ‘sangat tidak sihat’ dengan mencatat bacaan 203.

Pelitup N95 kini sudah mula diagihkan di setiap kelab masyarakat (CC) seluruh Singapura dan melalui mesin layan diri bagi pelitup di 37 hab pengangkutan awam, termasuk pusat tukaran bas Clementi, Yishun dan Woodlands serta Pejabat Khidmat Sosial (SSO) terpilih.

Setiap individu yang layak boleh mengambil satu pek yang mengandungi dua pelitup N95.

Bagi individu yang tidak dapat mengambilnya sendiri, ahli keluarga atau rakan boleh mengambil pelitup itu bagi pihak mereka dengan menggunakan nombor kad pengenalan (NRIC) individu yang layak.

“Kami sedang bekerjasama dengan beberapa sektor seperti kontraktor untuk meletakkan mesin layan diri bagi pelitup itu di beberapa kawasan seluruh Singapura. Kelab masyarakat juga telah dikerahkan.

“Jadi, kita memanfaatkan segala pusat pengagihan sebaik mungkin.

“Pastinya mesin tersebut akan mengambil lebih masa untuk sampai ke beberapa tempat di seluruh Singapura.

“Namun, kami akan cuba memastikan pelitup itu dapat diagihkan di seluruh kawasan di Singapura secepat mungkin,” tambah Cik Fu.