Topik diikuti
Pergi ke BHkuGrace Fu: S’pura tawar bantuan reda jerebu, masih nantikan respons Indonesia
Grace Fu: S’pura tawar bantuan reda jerebu, masih nantikan respons Indonesia
Singapura belum menerima sebarang jawapan daripada Indonesia berhubung tawarannya untuk membantu usaha memadam kebakaran yang menjadi punca jerebu di rantau ini, kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu.
Semasa berucap dalam satu sidang media bersama pada 16 Oktober, Cik Fu menyatakan bahawa beliau telah menghubungi rakan sejawatnya dari Indonesia dan menawarkan bantuan awam bagi menyokong usaha memadam kebakaran, serta langkah-langkah lain seperti bantuan pembenihan awan.
“Kita telah berhubung dengan pihak Indonesia sejak beberapa bulan lalu dan sebelum ini telah menawarkan sokongan kita untuk usaha memadam kebakaran mereka.
“Kita telah membaca melalui media bahawa mereka terbuka untuk menerima bantuan. Hari ini, saya telah menghubungi semula rakan sejawat saya itu.
“Namun, saya masih belum menerima sebarang jawapan daripadanya,” kata Cik Fu.
Cik Fu menambah bahawa beliau sebelum ini telah bercakap dengan rakan sejawatnya dari Indonesia, Menteri Alam Sekitar Indonesia, Encik Mohammad Jumhur Hidayat, pada September, bagi menawarkan bantuan daripada pihak Singapura.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) juga telah menghantar surat serta menghubungi rakan sejawatnya di Indonesia untuk menyatakan kesediaan Singapura dalam menyokong usaha mereka, tambah beliau.
“Kita faham bahawa keadaan yang mereka hadapi adalah rumit, dan kita bersedia untuk membantu setakat yang termampu.
“Kita bersedia untuk menghulurkan bantuan yang dianggap sesuai oleh pihak Indonesia dan akan terus berhubung dengan mereka mengenai perkara ini,” kata Cik Fu.
Pada 15 Oktober, Menteri Luar Indonesia, Arrmanatha Nasir, berkata negara itu bersedia menerima bantuan asing bagi menangani kebakaran hutan, susulan kenyataan yang bercanggah daripada para pegawai berhubung tawaran bantuan daripada Malaysia dan Singapura sejak beberapa hari lalu.
Encik Arrmanatha menambah bahawa Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) sedang mengendalikan perbincangan teknikal tersebut.
Apabila ditanya mengenai bantuan asing itu, ketua BNPB yang baru dilantik, Leftenan Jeneral Kristomei Sianturi, memberitahu media di Istana Presiden bahawa beliau akan menilai bentuk bantuan yang tersedia.
Kebakaran hutan di seluruh Indonesia, khususnya di pulau Sumatera dan Kalimantan – yang diburukkan lagi oleh fenomena cuaca El Nino yang kuat – telah menyebabkan jerebu melanda rantau ini.
Keadaan itu telah mengakibatkan peningkatan kes penyakit pernafasan, penutupan sekolah, serta pembatalan penerbangan, bukan sahaja di Indonesia malah di negara-negara jiran.