Tiga jam seminggu mungkin tidak kelihatan seperti tempoh yang lama, namun bagi Cik Nurdiana Omar, 38 tahun, masa itu kini boleh digunakan untuk mengenali kakitangan pendidiknya dengan lebih dekat serta menjalin hubungan lebih erat dengan ibu bapa.

Pengetua Pusat M.Y World @ Ang Mo Kio itu sebelum ini menghabiskan sekitar tiga jam setiap minggu untuk menyusun jadual kerja pendidik di pusat prasekolah itu.

Dengan adanya alat penyusunan jadual kerja berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang dicadangkan beliau dan disokong Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda), Cik Nurdiana kini dapat meluangkan lebih banyak masa untuk membimbing pasukannya serta menyokong pembangunan profesional pendidik tersebut.

Alat itu juga membantunya menguruskan permohonan cuti kakitangan, memastikan pendidik mendapat masa tanpa tugas mengajar yang diwajibkan bagi mereka, serta memastikan jadual kerja memenuhi garis panduan Ecda mengenai nisbah kakitangan kepada kanak-kanak.

Alat itu merupakan salah satu daripada 14 penyelesaian teknologi yang akan menerima sokongan menerusi geran sulung bernilai $2 juta di bawah Early Childhood Innovation Sandbox (Sandbox) oleh Ecda.

Inisiatif itu membantu prasekolah memanfaatkan teknologi untuk mempertingkat operasi serta meningkatkan mutu pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak.

“Kami mahu memperkemas proses penyusunan jadual kerja bagi mengurangkan masa yang dihabiskan untuk membuat penyesuaian pada jadual.

“AI ini akan membantu mengenal pasti kemungkinan kekurangan kakitangan supaya kami dapat memberikan bantuan dan sokongan yang lebih baik dengan mengambil kira corak pendaftaran kanak-kanak serta ketersediaan kakitangan, yang boleh menjejas nisbah pendidik kepada kanak-kanak atau peruntukan masa tanpa tugas mengajar bagi para pendidik.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

“Ini juga bagi memastikan garis panduan Ecda berkaitan nisbah kakitangan kepada kanak-kanak dipatuhi,” kata Cik Nurdiana ketika ditemui Berita Harian.

Sebelum ini, peruntukan masa tanpa tugas mengajar perlu dilakukan secara manual.

Selain itu, beliau bersama penolong pengetua pusat tersebut perlu meluangkan sekitar tiga jam untuk berbincang dan menentukan penyusunan jadual kerja paling sesuai bagi bulan berkenaan.

Dengan adanya alat AI itu, tempoh perbincangan tersebut dapat dipendekkan, sekali gus membolehkan Cik Nurdiana memberikan lebih tumpuan kepada perkara lain, termasuk pembangunan pendidik serta usaha mengeratkan hubungan dengan ibu bapa kanak-kanak.

Dalam perkembangan terkini berhubung pemberian masa tanpa tugas mengajar yang diwajibkan bagi pendidik prasekolah, iaitu tempoh terlindung dalam waktu bekerja yang membolehkan pendidik melaksanakan tugas profesional tanpa perlu mengajar secara langsung, Cik Nurdiana berkongsi bahawa aturan itu berjalan dengan baik bagi pendidik di bawah seliaannya.

Menurutnya, pendidik berkongsi bahawa mereka kini dapat memberikan lebih tumpuan kepada kerja pentadbiran dan tugas lain dalam tempoh tersebut.

Namun, antara persoalan yang timbul pada peringkat awal pelaksanaannya ialah sama ada peruntukan masa tanpa tugas mengajar itu akan menambahkan kerumitan dalam penyusunan jadual kerja, memandangkan lebih banyak keperluan perlu diambil kira.

Mengenai percubaan alat AI tersebut, Cik Nurdiana berkata:

“Dengan AI ini, kami juga dapat mengenal pasti keperluan pendidik dengan lebih baik. Sebagai contoh, AI akan memberikan peringatan kepada kami tentang pendidik yang belum mengambil masa tanpa tugas mengajar bagi minggu tersebut.

“AI akan menjana semula jadual dan memaparkan peringatan dalam sistem tentang pendidik yang masih belum mendapat masa tersebut. Ini memudahkan kami sebagai ketua pusat untuk memantau keadaan serta memastikan kebajikan dan keperluan cuti semua kakitangan diambil kira,” jelas beliau.

Alat penjadualan kerja berasaskan AI itu dicadangkan oleh M.Y World Preschool, yang mengemukakan penyelesaian tersebut kepada Ecda di bawah inisiatif Sandbox berkenaan.

Cadangan itu kemudian diluluskan bersama 13 projek lain.

Demonstrasi alat penyusunan jadual kerja itu diadakan di M.Y World @ Rivervale Shores sempena lawatan Menteri Negara Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Goh Pei Ming, pada 23 November.

Sandbox, yang diumumkan semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) 2026 Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), menerima sambutan menggalakkan daripada sektor pendidikan awal kanak-kanak.

Lebih 60 cadangan dikemukakan merangkumi pelbagai bidang operasi prasekolah, termasuk perancangan pengajaran, penyusunan jadual kerja, penyediaan portfolio kanak-kanak dan analisis video.

Antara 14 cadangan yang diluluskan ialah ‘Oral Health Surveillance Tool’ (Alat Pemantauan Kesihatan Pergigian) yang dicadangkan oleh pusat prasekolah PAP Community Foundation Sparkletots.

Alat itu bertujuan menilai tahap keperluan rawatan pergigian kanak-kanak berdasarkan analisis gambar gigi mereka yang diambil secara rutin.

Satu lagi cadangan ialah sistem ‘Facial Recognition for Child Drop-off and Pick-up’ (Pengecaman Wajah untuk Penghantaran dan Pengambilan Kanak-kanak) yang dikemukakan oleh pusat prasekolah Star Learners.

Sistem itu menggunakan teknologi pengecaman wajah untuk mengesahkan identiti ibu bapa dan penjaga apabila mereka tiba di prasekolah, selain menghantar makluman masa nyata kepada pendidik supaya mereka boleh bersedia untuk menyambut atau menyerahkan kanak-kanak di bawah jagaan mereka.

Langkah itu sekali gus menghapuskan keperluan merekodkan maklumat secara manual, mengurangkan risiko kesilapan manusia dan masa yang diperlukan untuk tugas pentadbiran, selain memastikan kanak-kanak hanya diserahkan kepada individu yang dibenarkan.

Menurut Ecda, 14 cadangan tersebut dipilih berdasarkan beberapa kriteria, termasuk kerelevanan, tahap inovasi dan kebolehlaksanaan, potensi untuk diperluaskan, serta kesan dan manfaat yang dijangka.

Ecda akan bekerjasama dengan pengendali prasekolah untuk menguji penyelesaian tersebut dan menilai potensi penggunaannya secara lebih meluas dalam sektor pendidikan awal kanak-kanak.