Topik diikuti
Pergi ke BHkuGuna AI lancarkan proses kerja, analisis data di SCDF
Guna AI lancarkan proses kerja, analisis data di SCDF
Walaupun kecerdasan buatan (AI) sering dikaitkan dengan peranan dalam bidang teknologi dan Stem (sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik), anggota bomba dan juruteknik perubatan kecemasan (EMT), Encik Muhammad Naim Zahari menggunakan alat digital untuk melancarkan proses kerja dan menganalisis data dengan lebih pantas di Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
Sebagai contoh, AI boleh membantu memendekkan proses yang berulang dan menjimatkan masa.
“Jika kita boleh memudahkan kehidupan dengan menggunakan teknologi, ia memberi kita lebih banyak masa untuk melakukan perkara yang benar-benar penting.
“Contohnya, kita boleh memperuntukkan lebih banyak masa untuk menjaga kecergasan supaya kita berada dalam keadaan fizikal yang optimum untuk menghadiri dan memberi respons kepada pesakit yang memerlukan kita berada pada tahap terbaik,” katanya kepada Berita Harian (BH) di luar acara ‘Tech Fest’ di Kolej Perkhidmatan Awam pada 18 September.
Namun, Encik Naim, 35 tahun, berkata mempelajari AI dapat membantu menyelesaikan proses berulang yang sering menyebabkan ketidakcekapan di tempat kerja.
“Mempelajari cara memaksimumkan penggunaan alat teknologi, termasuk AI, akan membantu memperbaiki ketidakcekapan di lapangan dan keseluruhan proses kerja.
“Ini khususnya apabila proses yang berulang dapat dipendekkan, sekali gus berpotensi menghasilkan penjimatan dari segi masa dan kos,” ujar beliau yang tugasnya turut melibatkan memberi respons kepada kejadian kebakaran dan kecemasan perubatan yang memerlukan tindakan pantas.
Beliau mula mengenali AI pada 2023 selepas menyertai pertandingan AI yang memerlukan peserta menghasilkan penyelesaian menggunakan visualisasi data, yang dikenali sebagai ‘Data Arcade Tournament (DAT) X ImpactiViz’.
Dengan menggunakan alat analisis data, beliau menganalisis bagaimana hasil kelangsungan hidup bagi kes henti jantung di luar hospital boleh ditingkatkan melalui latihan orang awam dalam bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dan penggunaan defibrilator luaran automatik (AED).
“Saya juga berasal daripada latar belakang komunikasi, jadi saya agak tertarik dengan perkembangan AI, apa sahaja yang berkaitan dengan teknologi. Apabila saya menyertai pertandingan itu, saya sedar bahawa saya agak mahir dalam bidang ini, jadi saya memutuskan untuk terus mendalaminya,” tambahnya.
Beliau sebelum ini mengikuti diploma Komunikasi Massa di Politeknik Temasek sebelum menjalani Perkhidmatan Negara (NS).
Kemudian, beliau juga meraih tempat pertama dalam satu lagi pertandingan GovTech pada 2024 yang melibatkan kejuruteraan gesaan bagi model bahasa besar (LLM).
Pengalamannya sejak itu membawanya memainkan peranan lebih luas dalam menggalakkan penggunaan AI, dan beliau akan menjadi antara pegawai yang mewakili SCDF sebagai sebahagian daripada komuniti perintis “Champions of AI Transformation” (CATs) oleh Institut Pemerintah Digital (IDG).
Bapa kepada seorang anak lelaki berusia dua tahun itu menekankan bagaimana pentingnya untuk tidak kehilangan sentuhan manusia dalam usaha Singapura beralih ke arah penggunaan AI.
“Amat penting untuk kita tidak menghilangkan unsur kemanusiaan daripada proses mempelajari teknologi, khususnya AI dalam kes ini. Teknologi ialah alat untuk memperbaiki kehidupan kita.
“Saya akui bahawa orang ramai mungkin berasa letih dengan penerimaan umum terhadap AI sejak kebelakangan ini.
“Oleh itu, amat penting untuk kita tidak kehilangan sentuhan manusia itu, dan saya rasa itulah kekuatan yang perlu kita manfaatkan sebagai peneraju transformasi ini. Pada asasnya, kita perlu ingat bahawa hubungan sesama manusia perlu diutamakan sebelum perkara lain,” katanya.
