Topik diikuti
Pergi ke BHkuGuna alat solek tutup lebam pembantu rumah: Wanita dihukum penjara

Guna alat solek tutup lebam pembantu rumah: Wanita dihukum penjara
SEORANG wanita yang menggunakan alat solek pada muka pembantu rumahnya untuk menutup lebam apabila polis ke rumahnya dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dan 10 minggu pada Isnin. Deepakala Chandra Secharan, 38 tahun, turut diperintahkan agar memberi pampasan $4,000 kepada pembantu rumah, Cik Eni Agustin. Peguam bela, Encik Mohamed Baiross dari IRB Law berkata, kedua-dua anak guamnya dan pembantu rumah itu menderita berikutan kesalahan itu. Beliau juga menyifatkan Deepakala sebagai anggota masyarakat yang baik dan menyumbang, lapor The Straits Times. Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Daerah Ow Yong Tuck Leong menegaskan bahawa kes penderaan pembantu rumah akan ditangani dengan tegas. Beliau sebelum ini mensabitkan Deepakala atas tiga pertuduhan menyerang selepas sesi perbicaraan. Kewarganegaraan dan usia Cik Eni tidak dinyatakan dalam dokumen mahkamah. Beliau mula bekerja di flat Deepakala di Woodlands pada 9 Disember 2019, dan didera 16 hari kemudian selepas beliau mencampurkan beberapa peralatan makan sambil meletakkan barang-barang itu di dalam laci dapur. Deepakala menjadi marah apabila melihat perkara itu dan berulang kali mencucuk dahi Cik Eni dengan jari telunjuknya menyebabkannya calar, kata Timbalan Pendakwa Raya Yang Ziliang dan Chong Ee Hsiun dalam hujah mereka. Pada 25 April 2020 pula, pembantu rumah itu sedang menyidai pakaian dari tingkap dapur apabila seorang lagi pembantu rumah di unit bawah melihatnya. Pembantu rumah itu memberi isyarat untuk bertanya mengapa Cik Eni mengalami lebam di muka. Cik Eni menjawab dengan menunjukkan bahawa majikannya telah memukulnya. Pembantu rumah tersebut kemudian menghubungi Pusat Pekerja Domestik, yang memaklumkan perkara itu kepada polis. Pegawai tiba di flat Deepakala pada hari itu juga. Apabila Deepakala menyedari polis berada di depan pintunya, dia membawa Cik Eni ke bilik air. Deepakala kemudian menggunakan alat solek untuk menutup kesan lebam di muka Cik Eni. Semasa Cik Eni disuruh bersembunyi, Deepakala berbohong kepada pegawai bahawa pembantu itu bersama ibu bapa Deepakala di Yishun. Namun seorang pegawai meminta Deepakala dan suaminya membuat pengaturan supaya polis dapat menemu bual pembantunya di rumah ibu bapanya. Pasangan itu kemudiannya menuju ke Yishun dengan menaiki kereta, dengan para pegawai mengekori mereka secara berasingan. Deepakala dan suaminya membawa Cik Eni bersama mereka. Mereka berada di Blok 403, Yishun Avenue 6, apabila seorang anggota polis melihat solekan tebal pada muka pembantu rumah itu. Kesan lebam dapat dilihat selepas muka mangsa dibersihkan. Bagi setiap pertuduhan penderaan pembantu rumah, pesalah boleh dipenjara sehingga empat tahun dan denda sehingga $10,000.