PADA 2016, sebuah kereta Mercedes-Benz melawan arus lalu lintas di Ekspreswe Ayer Rajah (AYE) sebelum merempuh sebuah kereta dan motosikal.

Seorang maut dan empat cedera dalam kemalangan itu.

Semasa perbicaraan terhadap pemandu Mercedes itu pada 2019, terdapat persoalan sama ada cerun lebuh raya itu telah menyumbang kepada kelajuan kereta tersebut ketika ia bergerak melawan aliran trafik, kata Cik Grace Wong, pemangku timbalan pengarah makmal bagi Makmal Kimia dan Fizik Forensik, Penguasa Sains Kesihatan (HSA).

Teknologi, dalam bentuk peta tiga dimensi (3D) sepanjang ekspreswe itu, telah membantu saintis forensik mengira kecerunan di AYE tanpa perlu meninjau kawasan itu secara manual.

"Keupayaan untuk kami, kalau boleh dikatakan, kembali ke masa lalu, dan melihat semula insiden itu (secara digital), adalah tidak ternilai," kata Cik Wong.

Teknologi kini membentuk asas kerja pasukan pembinaan semula kemalangan trafik HSA, yang boleh menjalankan lebih banyak penyiasatannya dari jauh.

Dahulu, lebih banyak ekspreswe dan jalan raya terpaksa ditutup untuk saintis forensik mengambil imbasan laser 3D secara manual di tapak nahas, sambil menyiasat kemalangan jalan raya yang kompleks dan menyebabkan korban jiwa.

Ia memakan masa dan mengganggu aliran trafik, kata Dr Alaric Koh, pemangku pengarah divisyen bagi Divisyen Sains Forensik HSA.

Sebelum pengimbas laser digunakan, saintis juga terpaksa menggunakan penggelek dan pita pengukur untuk mengukur berapa lebar dan jarak sesuatu tapak.

Dr Koh menambah bahawa walaupun pasukan pembinaan semula kemalangan lalu lintasnya meneliti kira-kira 80 kes setiap tahun sekarang, berbanding lima kes setiap tahun lebih sedekad lalu, penggunaan teknologi canggih telah membantu pasukan menyiasat kemalangan dengan lebih cekap.

Pada 2021, terdapat 100 kemalangan jalan raya yang menyebabkan korban jiwa.

Teknologi ini termasuk replika tiga dimensi tapak kemalangan dan model simulasi yang mencipta semula peristiwa yang membawa kepada kemalangan dan kesannya.

Menggambarkan semula kemalangan itu membantu saintis forensik menjawab soalan penyiasatan seperti sama ada kenderaan itu memandu laju atau melanggar peraturan lalu lintas.

Pasukan HSA boleh menggunakan replika digital daripada Program Pemetaan 3D Nasional Penguasa Tanah Singapura (SLA), yang bermula pada 2014, untuk mengukur jarak dan mengira kelajuan kenderaan.

Melalui inisiatif SLA, setiap jalan, lorong dan ekspreswe di Singapura dipetakan melalui pengimbas laser 3D dengan kamera dipasang pada kereta.

Pengimbas menghantar berjuta-juta denyutan laser dalam satu saat dan apabila denyutan terkena objek seperti jalan raya, pokok atau tiang lampu, ketinggian dan geometri objek itu diplot dalam ruang 3D.

Sejak 2019, Makmal Kimia dan Fizik Forensik HSA telah menggunakan peta 3D SLA dalam sekitar 50 kes.

Walaupun para saintis forensik perlu mengambil imbasan mereka sendiri pada masa-masa tertentu, terutamanya kerana data SLA sudah lapuk disebabkan faktor seperti pembinaan semula jalan raya, Dr Victor Khoo, pengarah Bahagian Tinjauan dan Geomatik SLA, berkata badan pemerintah itu akan terus mengemas kini peta itu secara teratur.

"Kami akan memulakan kempen lain untuk terus mendapatkan (data 3D jalan raya). Ini sepatutnya menjadi proses yang berterusan. Dan kenderaan autonomi juga akan bergantung pada data awan 3D ini untuk memandu sendiri," tambahnya.