PELAKON sitkom Phua Chu Kang, Gurmit Singh, ditangkap kerana memandu kereta secara laju, pada kelajuan 131 kilometer sejam, bersama anak lelakinya dalam kereta itu, di jalan yang had kelajuannya 70 kilometer sejam.
Semalam, selebriti berusia 56 tahun itu didenda $800 dan diharam memandu selama tiga bulan.
Singh, yang nama sebenarnya, Gurmit Singh Virk Chainchal Singh, mengaku bersalah terhadap satu tuduhan di bawah Akta Trafik Jalan Raya, lapor The Straits Times.
Dia tiada rekod kesalahan trafik sebelum ini.
Mahkamah diberitahu bahawa sekitar 9.30 pagi pada 12 April, Singh memecut laju keretanya ketika memandu di Woodlands Avenue 12 menuju ke Ekspreswe Seletar.
Kereta yang dipandunya dipercayai adalah jenis kereta mewah Audi A8 L yang baru sahaja dikeluarkan di pasaran.
Singh memberitahu mahkamah bahawa dia mengesan bunyi "kibasan" pada kereta itu dan mahu anaknya juga mendengar bunyi tersebut.
Dia juga dikatakan tidak mengetahui bagaimana dia boleh memandu hingga ke kelajuan 131 kilometer sejam dan mendakwa ia hanya kejadian yang berlaku "sekali sahaja".
Singh ditegur Hakim Daerah Salina Ishak, yang memberitahunya bahawa membahayakan nyawa anaknya itu.
Menjawab teguran Cik Salina, Singh berkata dia menyesali tindakannya.
Bagi kesalahan memandu laju, Singh boleh dihukum penjara hingga tiga bulan atau denda hingga $1,000.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg