GURU antara kumpulan hadrah kompang tertua di Singapura, Hadrah Firqatul Wannazam 1921, Haji Othman Haji Abdul Rahman, meninggal dunia pada 1.55 petang di Hospital Besar Changi (CGH) pada Selasa (24 Mei).

Pemergiannya kerana serangan jantung dalam keadaan tidur pada usia 79 tahun dimaklumkan kepada Berita Harian oleh anaknya, Cik Fadilah Othman, seorang penggiat seni.

Haji Othman merupakan salah seorang penerima Anugerah Budayawan Seni Cemerlang pada Festival Gemadah 2020 anjuran Konsortium Muzik Melayu Tradisional (Persatuan Pemuzik Tradisional Melayu Singapura)

Firqatul Wannazam yang menyambut ulang tahun ke-100 pada 19 November tahun lalu pernah diberi julukan 'Hadrah Madu Tiga' kerana merupakan kumpulan nostalgik yang berkesempatan muncul dalam filem P. Ramlee, Madu Tiga.

Anggotanya termasuk Haji Othman memalu hadrah dalam babak majlis kahwin melibatkan dendangan lagu Gambus Jodoh (Pukullah Tabuh) oleh P. Ramlee pada 1964.

Firqatul Wannazam juga pernah menjayakan filem klasik Laila Majnun dan Tun Fatimah pada 1962.

Pengasas kumpulan ini, Sheikh Ahmad Sheikh Amir, membangun kumpulan ini di kawasan desa sebelum mengalihkan kepimpinan kumpulan kepada bapa Haji Othman, Haji Abdul Rahman Baso' pada 1940-an.

Kepimpinan kumpulan selanjutnya diserahkan kepada Haji Othman pada 1969.

Ketika dihubungi, Cik Fadilah berkata:

"Bapa saya keluar masuk CGH lebih tiga kali. Tengah hari tadi, beliau meninggal dalam tidur susuli serangan jantung. Kami akan merinduinya, lebih-lebih lagi kami dijadualkan membuat persembahan di Taman Warisan Melayu, Jumaat ini.

"Bapa saya gigih membangun kumpulan hadrah ini dan sempat melihatnya mencecah 100 tahun, tahun lalu. Kami pernah mengadakan bengkel hadrah bersama untuk dapatkan generasi muda menjadi pelapis seni warisan ini."

Dalam satu wawancara Berita Harian bersama Haji Othman yang disiarkan pada 6 Januari 2019, Haji Othman menjelaskan bahawa tawaran menjayakan filem Madu Tiga itu datang tanpa diduga apabila Allahyarham P. Ramlee menghadiri satu majlis kahwin dan ternampak kumpulannya bermain hadrah.

"Namun, dalam filem itu, saya tidak diketengahkan sebagai khalifah kumpulan kerana kata arwah Ramlee, wajah saya nampak terlalu muda, seperti budak sekolah.

"Maka dipilihnya seorang teman, Encik Mohamed Hussein Abu sebagai khalifah kerana wajahnya tampak lebih matang.

"Pastinya pengalaman menjayakan Madu Tiga tidak dapat kami lupakan. Arwah Ramlee kaya dengan budi bahasa dan tidak sombong. Sebagaimana kata rakan saya, Encik Mohamed Salleh Embi, anak cucu kami pun akan ingat datuk mereka pun pernah glamor seketika sebagai 'bintang ekstra' dalam filem itu."

Haji Othman meneruskan perjuangan ayahnya kerana ingin melihat tradisi kesenian masyarakat Melayu yang menyatupadukan ukhuwah ini berterusan meskipun Singapura melalui arus pemodenan.

Beliau berpandukan Kitab Hadrah yang memuatkan syair-syair selawat, khazanah yang nyaris-nyaris dibuang arwah ayahnya kerana sudah usang.

Namun, beliau menceritakan betapa dirinya dikenali dalam kalangan penggiat hadrah sebagai seseorang yang selalu menyuntik pembaharuan pada irama yang dipalu tanpa mengubah keasliannya.

Jenazahnya dibawa ke rumah Cik Fadilah di Blok 451, Tampines Street 42 sebelum dikebumikan pada 10 pagi Rabu (25 Mei).