
APABILA seorang guru mendengar pelajarnya berhasrat mencederakan diri sendiri untuk mengatasi tekanan, dia mencadangkan supaya pelajar itu merangsang diri sendiri secara seksual.
Guru itu, yang bertugas di sebuah sekolah terkemuka di sini, menunjukkan video lucah kepada budak lelaki berusia 17 tahun itu.
Pada Rabu, lelaki berusia 49 tahun itu mengaku bersalah atas satu tuduhan menunjukkan video seksual kepada remaja itu.
Guru dan mangsa, yang kini berusia 19 tahun, tidak boleh dinamakan atas perintah mahkamah.
Timbalan Pendakwa Raya, Cik Yvonne Poon, berkata guru itu telah mengajar selama lebih 22 tahun dan merupakan tutor sivik dan guru darjah budak lelaki itu sewaktu kesalahan itu berlaku.
Pada 28 Januari 2021, ibu mangsa menghantar e-mel kepada tertuduh, dan memberitahunya bahawa anaknya berhasrat ponteng sekolah kerana berasa diasingkan dan tidak mempunyai tujuan hidup.
Guru itu kemudian menelefon ibunya dan memberitahu bahawa dia berniat untuk bercakap dengan anaknya, kerana pelajar itu ketinggalan dalam membuat kerja sekolah.
Pada hari sama, dia berbual dengan budak itu. Pelajar itu memberitahu guru itu bahawa dirinya mempunyai pemikiran negatif dan telah terlibat dalam mencederakan diri sendiri untuk mengatasi emosinya.
Selepas bercakap selama sejam, guru itu memberi nombor telefon peribadinya kepada budak itu.
Dia memberitahu budak lelaki itu agar menghubunginya jika memerlukan seseorang untuk bercakap.
Pada 2 Februari, guru itu memberi buku bantuan diri kepada budak itu dan bertanya kepadanya mengapa dia perlu mencederakan diri sendiri.
Apabila budak lelaki itu berkata dia memerlukan mekanisme mengatasi emosinya, guru itu berkata, "lelaki pada zaman ini hanya mempunyai dua cara menghilangkan tekanan: ubat dan merangsang diri sendiri".
Budak itu berasa tidak selesa, tetapi tertuduh terus menekan, bertanya sama ada dia telah menonton video lucah, dan menunjukkan pautan kepada budak itu ke laman web lucah di telefon bimbitnya dan mengklik salah satu pautan.
Pada 6 Februari, mereka bertemu untuk makan malam di rumah guru itu.
Guru itu bercakap tentang pengalaman seksualnya dan terus menekan budak lelaki itu untuk minum alkohol. Guru itu kemudian menunjukkan tiga video lucah di telefon bimbitnya.
Keesokan harinya, budak itu memberitahu ibunya apa yang telah berlaku. Pihak sekolah telah dimaklumkan, dan laporan polis kemudian difailkan.
Tertuduh telah meletakkan jawatan pada Februari 2021. Tertuduh dijadual kembali ke mahkamah untuk dijatuhi hukuman pada 28 Mac ini.
Jika didapati bersalah atas kesalahan ini, dia boleh dipenjara sehingga setahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.
DARI MAHKAMAH


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg