SEORANG guru lelaki didakwa di mahkamah pada Selasa (23 Jun) atas tuduhan merakam 168 video bawah skirt di sekolah menengah tempat dia mengajar. Lelaki itu dituduh melakukan kesalahan tersebut antara April 2015 dengan Julai 2018. Dia didakwa dengan enam tuduhan mencabul kehormatan wanita. Dokumen mahkamah tidak menyatakan sama ada video itu melibatkan pelajar atau rakan kerjanya. Nama lelaki berusia 47 tahun itu, dan maklumat berhubung sekolah tersebut, tidak dapat didedahkan demi melindungi identiti wanita yang terlibat. Lelaki Singapura itu juga dituduh mencabul kehormatan dua wanita lain, termasuk seorang saudara, di luar kawasan sekolah. Kementerian Pendidikan (MOE) memberitahu The Straits Times bahawa lelaki itu telah digantung perkhidmatannya sejak Julai 2018 dan tidak lagi mengajar di mana-mana sekolah. Kes lelaki itu ditangguhkan ke 14 Julai.