Minat Encik Muhammad Danish Sham terhadap bahasa Melayu mula berkembang apabila guru Bahasa Melayunya di sekolah menengah menghidupkan suasana pembelajaran menerusi muzik, drama dan persembahan pentas.

Mendapatkan inspirasi daripada pengalaman tersebut, Encik Danish, 31 tahun, ingin mengajar Bahasa Melayu dengan cara yang lebih interaktif dan relevan kepada pelajarnya.

“Matlamat saya adalah untuk pelajar melihat bahasa Melayu bukan sekadar satu bahasa yang perlu dipelajari, malah sesuatu yang mereka seronok gunakan,” kongsi Encik Danish, guru Bahasa Melayu di prasekolah My First Skool, di Rivervale Crescent.

Beliau merupakan antara lapan guru yang menerima Anugerah Guru Bahasa Ibunda Prasekolah Cemerlang 2026 (Anugerah Cemerlang) di Simposium Bahasa Ibunda (MTLS) ke-14, diadakan pada 1 Ogos di Singapore Expo.

Dengan anugerah itu, Encik Danish menerima sebuah plak dan wang tunai $1,000 kepada pihak sekolah untuk pembangunan profesionalnya.

Bagi Encik Danish, untuk menggalakkan pembelajaran Bahasa Melayu dalam suasana yang lebih seronok dan kurang formal, beliau menggunakan pelbagai wadah seperti muzik, nyanyian, drama dan permainan untuk mewujudkan pengalaman pembelajaran yang autentik.

Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya, Encik Danish, yang sudah berkecimpung dalam bidang itu selama lapan tahun, juga percaya pengajaran bahasa Melayu pada usia muda penting dalam pembinaan jati diri pelajar.

“Apabila kanak-kanak menghargai bahasa dan budaya sejak kecil, mereka akan membina semangat kekitaan, keyakinan diri dan kebanggaan terhadap jati diri pada usia yang lebih awal,” ujar beliau.

Antara cabaran ketara yang beliau hadapi termasuk kurangnya penggunaan bahasa Melayu di luar bilik darjah.

Dalam hal ini, beliau berkata kerjasama ibu bapa penting bagi menggalakkan penggunaan bahasa tersebut.

“Kita perlu bekerjasama dengan ibu bapa dan memperkenalkan kegiatan yang boleh mereka lakukan di rumah, seperti menggunakan persekitaran untuk membina kosa kata dan memperkenalkan lagu yang boleh mereka nyanyi bersama anak mereka,” katanya.

Semasa berucap di MTLS, Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, berkata Kementerian Pendidikan (MOE) sedang menjalankan satu program rintis untuk meningkatkan pendedahan kepada bahasa Ibunda kepada satu setengah jam sehari.

Menurut Encik Lee, usaha itu telah menyaksikan peningkatan dalam keyakinan diri pelajar untuk menggunakan Bahasa Ibunda dan MOE sedang meneliti sama ada usaha itu akan diperluas.

Selain Encik Danish, dua lagi guru bahasa Melayu menerima anugerah yang sama.

Mereka ialah Cik Nur Kamilah Mohamad Kamal, guru prasekolah PCF Sparkletots di Blok 730, Sembawang West; dan Cik Siti Nooraisah Abu Bakar, guru prasekolah PCF Sparkletots di Blok 856, Tampines Central.

“Anugerah ini bukan milik saya seorang, tetapi juga milik setiap guru yang sentiasa berusaha, percaya pada potensi setiap pelajar dan mengajar dengan penuh semangat.

“Saya berharap pengiktirafan ini menjadi peringatan bahawa setiap usaha yang ikhlas, walau sekecil mana sekali pun, mampu membentuk masa depan Singapura,” kata Encik Danish.

“Apabila kanak-kanak menghargai bahasa dan budaya sejak kecil, mereka akan membina semangat kekitaan, keyakinan diri dan kebanggaan terhadap jati diri pada usia yang lebih awal... Kita perlu bekerjasama dengan ibu bapa dan memperkenalkan kegiatan yang boleh mereka lakukan di rumah, seperti menggunakan persekitaran untuk membina kosa kata dan memperkenalkan lagu yang boleh mereka nyanyi bersama anak mereka.”
Encik Muhammad Danish Sham, penerima Anugerah Guru Bahasa Ibunda Prasekolah Cemerlang 2026 (Anugerah Cemerlang).
Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti
Laporan berkaitan