Guru prasekolah akan menerima sekurang-kurangnya dua jam masa tanpa tugas mengajar setiap minggu mulai 1 November 2027, bagi memberi mereka lebih banyak masa merancang pelajaran dan mendokumentasi perkembangan setiap kanak-kanak.

Mengumumkannya di Majlis Penyampaian Biasiswa dan Anugerah Latihan tahunan Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda) pada 13 Oktober, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata langkah itu diambil menyusuli maklum balas pendidik yang mahukan lebih banyak masa khusus untuk melaksanakan tanggungjawab mereka secara mampan.

“Tugas pendidik awal kanak-kanak bukan hanya terbatas di bilik darjah.

“Mereka merancang pengalaman pembelajaran, mendokumentasikan perkembangan setiap kanak-kanak serta bekerjasama dengan ibu bapa untuk menyokong pembelajaran dan kesejahteraan anak-anak kita.

“Tanggungjawab ini merupakan aspek penting dalam menyediakan pendidikan prasekolah yang bermutu.

“Walaupun sesetengah prasekolah sudah menyediakan masa tanpa pengajaran secara langsung, tahap sokongan ini berbeza-beza di seluruh sektor.

“Penetapan tempoh minimum yang seragam akan memastikan setiap pendidik mempunyai masa khusus untuk melaksanakan tanggungjawab penting ini.

“Langkah ini akan menyokong amalan pengajaran yang lebih terancang serta memastikan mutu pendidikan yang lebih konsisten bagi anak-anak kita,” ujar Encik Masagos, dalam ucapannya.

Semua pusat yang dilesenkan Ecda akan diberi masa setahun untuk membuat persiapan bagi melaksanakan perubahan itu serta menyemak semula aturan kerja masing-masing, tambah beliau.

Acara yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura itu menyaksikan hampir 400 pendidik diiktiraf atas pencapaian dan usaha pembangunan profesional mereka.

Pendidik bayi dan kanak-kanak kecil di Iyad Perdaus Jurong East, Cik Latisah Salimen, 43 tahun, memberitahu Berita Harian (BH), masa tambahan itu bukan sahaja membolehkannya menyiapkan tugasan, malah memberinya ruang untuk berehat seketika selepas seharian menguruskan kanak-kanak.

Menurutnya, tempoh sejam yang disediakan ketika ini agak terhad kerana beliau hanya dapat mengejar tugasan yang belum selesai.

Dengan pelaksanaan masa tanpa tugas mengajar selama dua jam pada 2027, beliau berharap dapat menyelesaikan tugasan sedia ada sambil menyediakan bahan dan sumber pembelajaran untuk kanak-kanak.

“Dengan dua jam, saya rasa tempoh itu lebih sesuai kerana saya boleh menyiapkan apa yang perlu dilakukan dan membuat sedikit tambahan, seperti menyediakan bahan pembelajaran untuk kanak-kanak.

“Pada masa yang sama, kita berjauhan seketika daripada kanak-kanak dan mempunyai lebih banyak masa untuk diri sendiri,” tambahnya.

Ibu dua orang anak berusia enam dan 10 tahun itu turut berkata masa tersebut membantunya menenangkan fikiran selepas seharian mengendalikan kanak-kanak.

“Walaupun kita melaksana tugas dokumentasi, masa yang tenang itu membantu saya menetapkan semula emosi dan bersedia untuk meneruskan tugas,” ujarnya.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti