Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hab Minds (Central) dibuka, tawar khidmat sehenti bagi golongan kurang daya intelek

Nov 17, 2022 | 5:30 AM
LAWATAN KE HAB BARU: Encik Masagos (dua dari kanan) diberi taklimat mengenai program sokongan penjaga yang ditawarkan Minds oleh pengurus program perkembangan dan pejabat sokongan Minds, Cik Julia Ng (kanan), semasa lawatan di Minds Hub (Central) yang baru dilancarkan di 2 Queens Road. Hab itu berfungsi sebagai pusat sehenti fizikal yang menawarkan pelbagai perkhidmatan untuk golongan kurang daya intelek (PWID). Bersama dalam gambar (dari kiri) ialah pengerusi Minds, Encik Augustin Lee dan Timbalan Speaker Parlimen yang juga AP GRC Holland-Bukit Timah, Encik Christopher de Souza. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA
LAWATAN KE HAB BARU: Encik Masagos (dua dari kanan) diberi taklimat mengenai program sokongan penjaga yang ditawarkan Minds oleh pengurus program perkembangan dan pejabat sokongan Minds, Cik Julia Ng (kanan), semasa lawatan di Minds Hub (Central) yang baru dilancarkan di 2 Queens Road. Hab itu berfungsi sebagai pusat sehenti fizikal yang menawarkan pelbagai perkhidmatan untuk golongan kurang daya intelek (PWID). Bersama dalam gambar (dari kiri) ialah pengerusi Minds, Encik Augustin Lee dan Timbalan Speaker Parlimen yang juga AP GRC Holland-Bukit Timah, Encik Christopher de Souza. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA -

SEBUAH hab baru dilengkapi pelbagai khidmat rawatan bagi golongan kurang daya intelek (PWID) serta keluarga mereka kini disediakan di kawasan undi Ulu Pandan.

Minds Hub (Central) di 2 Queens Road berhampiran stesen MRT Farrer Road, yang diusahakan Pergerakan bagi Golongan Kurang Cerdas Singapura (Minds), dilancarkan oleh Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, semalam.

Hab itu berfungsi sebagai pusat sehenti fizikal yang menawarkan pelbagai perkhidmatan untuk PWID, termasuk perkhidmatan maklumat dan rujukan, perancangan penjagaan masa depan, perkhidmatan sokongan pekerjaan, pendamping dan perkhidmatan penjagaan kesihatan dan juga sokongan penjagaan kesihatan.

Keluarga yang mempunyai anggota PWID boleh mendapatkan bantuan rawatan dari lokasi yang lebih dekat dengan kediaman mereka.

Hab ini juga bertujuan memberi diagnosis dan memenuhi keperluan mereka.

Bercakap semasa melancarkan Minds Hub (Central), Encik Masagos, selaku tetamu terhormat acara itu, berkata:

"Ruang hab seperti ini penting supaya golongan kurang daya intelek boleh mendapatkan lebih banyak bantuan di kawasan kejiranan mereka.

"Ini membolehkan mereka lebih terlibat secara aktif dalam masyarakat, dan hidup berdikari."

Minds Hub (Central) adalah yang pertama daripada tiga hab yang akan dibina menjelang dua tahun akan datang di kawasan barat dan timur Singapura.

Ketua pegawai eksekutif Minds, Encik Kelvin Koh, berkata:

"Sekitar 80 peratus golongan dewasa yang mengalami kurang daya intelek tidak menerima rawatan tetap.

"Dengan itu, kami membuat keputusan mendekati masyarakat dengan perkhidmatan kami supaya dapat mengenal pasti keadaan dan keperluan sebenar untuk memastikan keberkesanan perkhidmatan yang ditawarkan."

Antara klien yang dapat memanfaatkan hab itu ialah Encik Saiful Azfar Arif, 33 tahun, dan penjaganya yang juga abangnya, Encik Mohamed Syahid Arif.

Bercakap kepada media, Encik Syahid, 41 tahun, berkongsi bahawa hab itu dapat memberi kemudahan kerana ia dilengkapi dengan semua maklumat dan perkhidmatan yang diperlukan untuk membantu adiknya.

"Hab ini juga menyediakan sebuah klinik dan doktor khusus yang boleh memahami keperluan dan keadaan sebenar kami.

"Di klinik awam, perkhidmatan yang diberikan mungkin kurang khusus," ujar penjaga Encik Syahid, yang menjaga adiknya secara sepenuh masa sejak tiga tahun lalu.

Encik Saiful didiagnos dengan autisme sejak berusia tiga tahun dan mengalami epilepsi sejak remaja.

Dengan sokongan Minds, Encik Syahid dapat menerima dana Syarikat Amanah Keperluan Khas (SNTC) bagi menyokong rawatan dan kos perbelanjaan adiknya.

Selain itu, adiknya juga terlibat dalam Kelab Me Too! yang bertujuan meningkatkan penyepaduan sosial bagi PWID supaya mereka dapat membina hubungan yang berkekalan bersama rakan mereka daripada semua lapisan masyarakat.

Mengulas mengenai penyepaduan sosial, pengarah bagi perkhidmatan sokongan masyarakat, Cik Ong Lay Hoon, yang menekankan kepentingannya, menambah:

"Di Minds, kami dapat mengajar dan membina kemahiran rangkaian masyarakat untuk membantu PWID lebih berdikari tanpa halangan, namun penyepaduan sosial juga harus diterima oleh kedua-dua pihak iaitu sokongan daripada masyarakat dalam hal ini."

Dalam acara itu, Encik Masagos juga telah mengumumkan bahawa Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) telah melantik Minds untuk menyediakan perkhidmatan yang menyeluruh untuk Program Permohonan Bantuan Perwakilan (Adap).

Program Adap memudahkan permohonan bagi membuat keputusan oleh penjaga golongan kurang daya intelek supaya mereka boleh membuat keputusan undang-undang bagi pihak golongan itu.

"Menerusi program ini, lebih ramai penjaga dapat meraih manfaat daripada program tersebut," ujar Encik Masagos.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg