Hab Serantau Gerakan bagi Persatuan Golongan Kurang Daya Intelek Singapura (Minds) telah dibuka semula di Hougang.
Bertujuan membantu golongan kurang daya intelek (PWID) serta penjaga mereka dengan lebih baik, hab itu menyediakan rangkaian perkhidmatan yang lebih luas bagi memenuhi pelbagai keperluan mereka.
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, merupakan tetamu terhormat bagi majlis perasmian pembukaan hab baru itu pada 15 November.
“Hab ini melambangkan pencapaian penting bagi Minds, menggabungkan kededua perkhidmatan sokongan dan berasaskan komuniti serta sokongan pekerjaan untuk golongan kurang upaya intelek,” kata Encik Masagos, yang juga Menteri Kedua Kesihatan.
“Ini akan memperkasakan mereka untuk menjalani kehidupan dengan bermakna dan berdikari dalam komuniti mereka,” ujar Encik Masagos yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.
Dikenali sebagai Pusat Pembangunan Pekerjaan Idea (IEDC) Minds sebelum ini, kemudahan yang dinaik taraf itu kini akan mengikut model perkhidmatan bersepadu yang berasaskan keperluan individu.
Bekerjasama dengan golongan penjaga, program khas bagi setiap PWID akan disediakan mengikut empat kategori perkhidmatan: Program Pembangunan Pekerjaan, Program Sokongan, Program Penjagaan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat.
Program itu akan dilancarkan secara berperingkat mulai 1 April 2025.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Minds, Encik Kelvin Koh, daya utama itu selaras dengan Pelan Induk Pemerkasaan 2030 (EMP2030), yang bertujuan menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat dan hidup berdikari bagi golongan kurang upaya.
Hab Serantau Minds (Hougang) akan menawarkan kurikulum pembelajaran sepanjang hayat yang menyuluruh dengan modul teras, elektif dan berasaskan minat.
Berdasarkan tahap sokongan yang diperlukan setiap individu, bilangan dan kandungan modul akan diselaraskan dan disesuaikan untuk memenuhi keperluan dan kebolehan pembelajaran khusus mereka.
“Dengan menyesuaikan sokongan kami melalui latihan kemahiran yang disasarkan untuk menangani keperluan khusus setiap individu serta memudahkan penglibatan komuniti yang lebih besar, kami dapat mewujudkan peluang bermakna untuk pertumbuhan peribadi dan memupuk kesan positif yang berkekalan bagi kededua individu dan komuniti secara keseluruhan,” jelas Encik Kelvin.
Terletak di 29 Rosyth Road, dua unit khusus juga ditubuhkan di hab tersebut, iaitu Oaktree, untuk menyokong golongan menua; dan juga Unit Spektrum Autisme-Kurang Upaya Intelek, bagi mereka yang mempunyai keperluan sokongan lebih tinggi.
Untuk menyokong peningkatan bilangan pelanggan yang menua, bangunan itu turut dilengkapi jalan masuk yang diperluas, tanjakan, susur tangan, lif, serta laluan pejalan kaki berbumbung bagi memudahkan akses ke hab tersebut.
Hab Serautau Minds (Hougang) juga memperkenalkan Minds Oasis@Hougang, ruang masyarakat yang direka untuk memupuk interaksi antara PWID dengan komuniti setempat.
Ruang berorientasikan gaya hidup itu membolehkan PWID mempamerkan kemahiran memasak dan artistik mereka, serta menerapkan latihan vokasional, seperti menyusun dan menandai barangan terpakai untuk dijual.
Terletak di kawasan kejiranan, Minds Oasis menyasarkan untuk melibatkan golongan kurang upaya intelek yang lebih luas, termasuk mereka yang belum diberi pertolongan atau kurang menerima bantuan.
Model perkhidmatan baru itu akan dilancarkan secara berperingkat di semua Pusat Minds bermula pada April 2025, dengan operasi penuh dijangka menjelang Mac 2027.
Ia bertujuan meningkatkan akses kepada perkhidmatan, membolehkan PWID serta penjaga mereka ke Hab Minds terdekat dengan kediaman mereka.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg