Imam Masjid Ba’alwie, Habib Syed Hassan Syed Mohammad Salim Al-Attas, merupakan antara 6,774 individu yang menerima anugerah pingat dan penghargaan sempena Hari Kebangsaan 2024.
Dalam satu kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada 9 Ogos, ia menyatakan beliau bakal menerima salah satu pingat tertinggi negara iaitu Darjah Utama Bakti Cemerlang.
Di samping beliau, lima lagi individu akan menerima pingat tersebut.
Habib Hassan dilantik sebagai anggota Majlis Presiden bagi Hak-Hak Kaum Minoriti (PCMR) pada Julai 2021 bagi tempoh tiga tahun.
Beliau juga merupakan ahli majlis Pertubuhan Antara Agama (IRO) dan pernah menerima Pingat Jasa Gemilang pada 2015 atas usahanya untuk meningkatkan keharmonian agama dan bangsa di sini.
Pengerusi Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), Encik Peter Ho, bakal menerima pingat tertinggi negara iaitu Darjah Utama Nila Utama (Dengan Kepujian), tambah kenyataan itu.
Selain itu, tujuh penerima bakal mendapat Pingat Jasa Gemilang manakala 20 individu bakal menerima Bintang Bakti Masyarakat (Lintang) – antaranya ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC) Pasir Ris West, Syed Ahmad Syed Yusof Alsagoff.
Sebanyak 172 Pingat Bakti Masyarakat turut dianugerahkan, salah seorang penerimanya ialah Pengerusi Yayasan Warisan Melayu (MHF), Dr Shahril Saat.
Bintang Bakti Masyarakat, Pingat Pentadbiran Awam, Pingat Kepujian, Pingat Berkebolehan dan Pingat Bakti Setia akan turut dianugerahkan sempena Anugerah Hari Kebangsaan.
Pada 2021, Darjah Utama Nila Utama (Dengan Kepujian) disandang oleh Encik Peter Seah Lim Huat.
Beliau pengerusi bukan eksekutif DBS Group Holdings dan DBS Bank, Pengerusi Singapore Airlines Limited dan Pengerusi Kolej LaSalle.
Pada 2019, anugerah tertinggi itu diberikan kepada mantan Pengerusi Majlis Penasihat Presiden, Encik J Y Pillay.
Bermula pada 1962, Anugerah Hari Kebangsaan yang diadakan secara tahunan mengiktiraf individu atas sumbangan mereka kepada perkhidmatan sivil atau tentera, kerja sosial dan masyarakat, atau untuk prestasi cemerlang dalam bidang mereka masing-masing.
Senarai penuh penerima Anugerah Hari Kebangsaan 2024 tersedia di laman PMO.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg