Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Had pendapatan bantuan ComCare naik mulai 17 Jul

Jul 13, 2023 | 6:00 PM
HAD PENDAPATAN DINAIKKAN: Tanda aras pendapatan Bantuan Jangka Pendek hingga Jangka Sederhana (SMTA) ComCare, yang kali terakhir disemak pada 2014, dinaikkan daripada $650 dan ke bawah kepada $800 dan ke bawah mulai 17 Julai.
HAD PENDAPATAN DINAIKKAN: Tanda aras pendapatan Bantuan Jangka Pendek hingga Jangka Sederhana (SMTA) ComCare, yang kali terakhir disemak pada 2014, dinaikkan daripada $650 dan ke bawah kepada $800 dan ke bawah mulai 17 Julai. - Foto ST

Lebih ramai orang yang memerlukan dijangka boleh menerima bantuan apabila had pendapatan kelayakan bagi skim ComCare dinaikkan mulai 17 Julai.

Mengumumkan demikian dalam satu kenyataan pada Khamis, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) berkata tanda aras pendapatan isi rumah per kapita (PCHI) bagi bantuan ComCare akan dinaikkan daripada $650 dan ke bawah kepada $800 dan ke bawah mulai 17 Julai.

Had pendapatan Bantuan Jangka Pendek hingga Jangka Sederhana (SMTA) ComCare itu kali terakhir disemak pada 2014.

SMTA ComCare memberi bantuan kewangan sementara kepada isi rumah berpendapatan rendah yang tidak dapat bekerja buat sementara waktu, atau meraih pendapatan kecil dan memerlukan bantuan.

MSF berkata ia menyemak tanda aras itu setiap dua atau tiga tahun, dan mengambil kira data mengenai perbelanjaan bagi keperluan hidup asas daripada Jabatan Perangkaan, ramalan inflasi dan pandangan karyawan khidmat sosial yang bekerja rapat dengan isi rumah berpendapatan rendah.

Tanda aras PCHI itu menunjukkan anggaran tahap pendapatan bagi isi rumah yang layak bagi SMTA. Ia bukan kriteria yang secara automatik melayakkan isi rumah untuk menerima SMTA, kata MSF.

Kelayakan bagi SMTA adalah berdasarkan penilaian menyeluruh oleh Pejabat Khidmat Sosial (SSO).

Mereka yang meraih pendapatan di bawah jumlah yang mereka perlukan, khusus bagi keperluan asas, layak bagi bantuan ini.

Isi rumah juga dinilai berdasarkan faktor seperti jumlah simpanan mereka dan sokongan keluarga.

Menurut MSF, tanda aras pendapatan isi rumah yang digunakan sekarang bagi SMTA tidak akan digunakan lagi.

Hanya tanda aras PCHI yang akan digunakan kerana ia lebih tepat dalam menggambarkan perbelanjaan sara hidup asas, yang berbeza mengikut saiz isi rumah.

Tanda aras PCHI yang disemak sebanyak $800 dan ke bawah itu juga akan digunakan bagi skim ComCare lain yang mengambil rujukan daripada tanda aras pendapatan SMTA mulai 17 Julai, seperti Bantuan Jangka Panjang ComCare serta Bantuan Sementara ComCare.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg