SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Had pendapatan bulanan CPF dinaikkan daripada $6,000 kepada $8,000

Had pendapatan bulanan CPF dinaikkan daripada $6,000 kepada $8,000

Feb 15, 2023 | 5:30 AM

Had pendapatan bulanan CPF dinaikkan daripada $6,000 kepada $8,000

SOKONG PEKERJA: Langkah meningkatkan had pendapatan bulanan CPF kepada $8,000 bertujuan membantu warga Singapura berpendapatan pertengahan untuk mengetepikan lebih banyak wang bagi persaraan. - Foto fail
SOKONG PEKERJA: Langkah meningkatkan had pendapatan bulanan CPF kepada $8,000 bertujuan membantu warga Singapura berpendapatan pertengahan untuk mengetepikan lebih banyak wang bagi persaraan. - Foto fail -

PEMERINTAH akan meningkatkan had pendapatan bulanan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) daripada $6,000 sekarang kepada $8,000 pada 2026.

Dilaksanakan secara bertahap mulai September 2023, langkah tersebut bertujuan membantu warga Singapura berpendapatan pertengahan untuk mengetepikan lebih banyak wang bagi persaraan.

Mengumumkan langkah itu pada Selasa, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, berkata kenaikan itu akan dilaksanakan secara bertahap dalam tempoh empat tahun bagi membolehkan majikan dan pekerja untuk membuat penyesuaian kepada perubahan itu.

"Had pendapatan CPF kali terakhir dinaikkan pada 2016.

"Sejajar dengan gaji yang meningkat, kami akan meningkatkan had pendapatan bulanan daripada $6,000 kepada $8,000 pada 2026," kata Encik Wong.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan kenyataan Belanjawan 2023.

Had pendapatan bulanan CPF menetapkan jumlah maksimum sumbangan CPF yang perlu dibayar bagi Gaji Biasa.

Selain had pendapatan bulanan CPF, terdapat juga had pendapatan tahunan CPF, yang menetapkan jumlah maksimum sumbangan CPF yang perlu dibayar bagi semua gaji yang diterima dalam satu tahun, iaitu termasuk Gaji Biasa dan Gaji Tambahan.

Had pendapatan tahunan CPF kini ditetapkan pada $102,000. Kededua had pendapatan - bulanan dan tahunan - kali terakhir dikemas kini pada 2016.

Buat masa ini, had pendapatan tahunan tidak berubah, tetapi ia akan disemak dari masa ke masa.

Sebahagian usaha untuk menyokong persaraan warga emas, pemerintah akan turut menaikkan bayaran bulanan CPF minimum bagi semua warga emas di bawah Skim Jumlah Persaraan (RSS) daripada $250 kepada $350 mulai 1 Jun 2023.

Di bawah skim tersebut, bayaran itu akan diteruskan hingga simpanan CPF habis.

Warga emas di bawah RSS boleh memilih untuk menyertai CPF Life pada bila-bila masa sebelum usia 80 tahun untuk menerima bayaran sepanjang hayat.

Pemerintah juga akan terus menaikkan kadar sumbangan CPF pekerja berusia 55 tahun ke atas hingga 70 tahun, sejajar dengan saranan Kumpulan Kerja Tiga Pihak bagi Pekerja Lanjut Usia.

Apabila kenaikan ini dilaksanakan secara sepenuhnya, pekerja warga Singapura dan penduduk tetap berusia 55 tahun ke atas hingga 60 tahun akan mempunyai kadar sumbangan CPF yang sama dengan pekerja muda.

Kenaikan pertama kadar sumbangan CPF telah dilaksanakan pada 2022, dan kenaikan kedua pada 2023.

Pemerintah akan meneruskan rancangan untuk melaksanakan kenaikan kadar sumbangan CPF seterusnya bagi pekerja lanjut usia pada 2024.

Kenaikan tersebut ialah sebanyak 1 hingga 1.5 mata peratusan.

Untuk mengatasi kenaikan kos perniagaan disebabkan kadar sumbangan CPF lebih tinggi ini, pemerintah akan menyediakan majikan dengan Imbangan Peralihan CPF selama setahun.

Imbangan itu menyediakan sokongan sebanyak separuh daripada kenaikan kadar sumbangan CPF majikan pada 2024 bagi setiap pekerja warga Singapura dan penduduk tetap berusia 55 tahun ke atas hingga 70 tahun.

Dalam ucapannya, Encik Wong berkata sedang penduduk menua, pemerintah harus mengatasi keperluan persaraan warga Singapura.

"Kami sedang mempertimbangkan lebih banyak usaha yang boleh dilakukan untuk meningkatkan kecukupan persaraan dalam perbincangan Melakar Hala Tuju Singapura kami," kata Encik Wong.

LANGKAH MEMPERTINGKAT KECUKUPAN PERSARAAN

Had pendapatan bulanan CPF

  1. Dinaikkan daripada $6,000 sekarang kepada $8,000 pada 2026
  2. Dilaksana secara bertahap mulai Sep 2023
  3. Had pendapatan tahunan CPF dikekalkan pada $102,000

Skim Jumlah Persaraan (RSS)

  1. Bayaran bulanan CPF minimum bagi warga emas di bawah RSS dinaikkan daripada $250 kepada $350 mulai 1 Jun 2023

Sumbangan CPF bagi pekerja lanjut usia

  1. Pemerintah teruskan rancangan laksanakan kenaikan kadar sumbangan CPF seterusnya bagi pekerja lanjut usia pada 2024
  2. Kenaikan tersebut ialah sebanyak 1 hingga 1.5 mata peratusan
  3. Untuk mengatasi kenaikan kos perniagaan, pemerintah akan menyediakan majikan dengan Imbangan Peralihan CPF selama setahun
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg