HAD usia bagi proses membekukan telur (EEF) wanita telah dinaikkan kepada 37 tahun, berbanding 35 tahun, bila pembekuan telur elektif mula dilaksanakan di sini menjelang 1 Julai 2023.
Mengumukan demikian pada Isnin, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling, berkata langkah itu bagi memberi lebih banyak peluang kepada wanita yang ingin mengekalkan kesuburan mereka supaya dapat hamil dan menjadi ibu pada masa akan datang.
Pengumuman itu susulan kepada Kertas Putih mengenai Pembangunan Wanita Singapura yang dibentangkan pada 2022.
"Sejak pengumuman langkah ini tahun lalu (2022) semasa perbahasan, kami telah melakukan banyak kajian.
"Kami telah mengkaji bahan-bahan selain berunding dengan doktor serta karyawan.
"Mereka membuktikan kadar kejayaan pembekuan telur kekal agak stabil untuk wanita sehingga 37 tahun," kata Cik Sun.
Kenyataan bersama Kementerian Kesihatan (MOH) dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), berkata kajian menunjukkan kadar kejayaan menggunakan telur daripada wanita lebih 37 tahun terus merosot.
Justeru, kata MOH, mereka akan meningkatkan usia ini hanya sebanyak dua tahun bagi wanita yang merancang untuk menjalani EEF dan menderma telur, yang akan berkuat kuasa dengan Peraturan Pembiakan Berbantu dan pelaksanaan EEF.
Ditanya media jika mereka menjangka lebih ramai melakukan EEF menyusuli pengumuman tersebut, Cik Sun berkata:
"Ingin mempunyai anak adalah keputusan peribadi dan mungkin kadar kesuburan itu bukan sesuatu yang hanya memberi motivasi kepada pasangan mempunyai seorang anak.
"Tetapi apa yang kami ingin lakukan adalah untuk menyediakan pilihan bagi mereka. Jadi apabila mereka bersedia, mereka boleh menggunakan telur mereka," katanya.
Pada Mac tahun lalu, ia diumumkan bahawa wanita - tanpa mengira status perkahwinan - yang berumur antara 21 dengan 35 tahun akan dibenarkan menjalani pembekuan telur elektif, yang dilakukan atas sebab bukan perubatan.
Ini adalah perubahan dasar utama sebagai sebahagian daripada Kertas Putih mengenai Pembangunan Wanita Singapura.
Pada masa ini, wanita dibenarkan membekukan telur mereka hanya atas sebab perubatan, seperti apabila mereka perlu menjalani kemoterapi, yang boleh menjejas kesuburan.
Menurut Profesor Madya Sadhana Nadarajah, Ketua dan Perunding Kanan di Jabatan Perubatan Reproduktif di Hospital Wanita & Kanak-Kanak KK (KKH), sebahagian besar klien yang ingin melakukan proses persenyawaan in vitro (IVF) adalah antara usia 35 dengan 39 tahun.
Mengalu-alukan peningkatan usia bagi wanita untuk menjalani proses EEF, Dr Sadhana berkata ia akan membantu wanita yang ingin memulakan perjalanan mereka sebagai seorang ibu.
Namun begitu, Dr Sadhana turut menjelaskan terdapat beberapa cabaran dihadapi bagi wanita dalam golongan ini ketika usia mereka meningkat.
Ini termasuk kadar kejayaan yang berkurangan, jumlah telur berkurangan dan mutunya merosot.
"Anda memerlukan sejumlah besar telur untuk mengandung seorang anak. Satu telur yang anda bekukan tidak semestinya memberi anda peluang 100 peratus untuk hamil," jelasnya.
Secara purata Dr Sadhana berkata di bawah usia 35 tahun seorang wanita memerlukan 10 hingga 15 telur untuk mempunyai 70 peratus peluang untuk hamil.
Wanita berusia 37 tahun pula mungkin memerlukan jumlah telur yang berganda untuk mempunyai peluang yang sama.
Namun begitu, Dr Sadhana berkata orang ramai tidak perlu bergegas untuk melakukan proses EEF.
"Saya rasa terdapat kebimbangan yang semakin meningkat untuk wanita membekukan telur mereka secara dipaksa. Mereka tidak seharusnya rasa bersalah jika mereka tidak membekunya.
"Sebaliknya, mereka harus mendapatkan kaunseling untuk mendapatkan maklumat terbaik," tambahnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg