KERAJAAN Arab Saudi menghadiahkan sejumlah 16 tan kurma kepada Singapura pada Selasa (24 Mei), satu pemberian yang melambangkan hubungan diplomatik baik yang telah dikongsi kedua-dua negara selama bertahun-tahun.
Upacara pengagihan kurma tahunan oleh Duta Besar Arab Saudi ke Singapura, Encik Abdullah Mohammed AlMadhi, itu disaksikan oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Dalam satu kiriman Facebook pada Selasa (24 Mei), Encik Masagos berkata: "Majlis ringkas hari ini merupakan suatu tanda simbolik yang menampilkan hubungan dua hala kukuh antara Singapura dan Arab Saudi, yang terus memainkan peranan penting khususnya dalam memastikan urusan berkenaan haji dan umrah berjalan lancar bagi jemaah Singapura.
"Kerjasama erat kita bersama kerajaan Arab Saudi telah membuahkan hasil yang terbaik untuk bakal jemaah haji Singapura kita yang akan berangkat tidak lama lagi, selepas penangguhan selama dua tahun disebabkan Covid-19," tambahnya.
Encik Masagos turut meluahkan rasa besar hati di atas pemberian hadiah kurma itu kepada pihak berkepentingan seperti masjid-masjid di sini.
"Bagi masyarakat kita, kurma menjadi juadah utama untuk berbuka puasa di bulan Ramadan. Tetapi di Timur Tengah, makna dan kaitannya lebih meluas dari setakat sepanjang bulan suci," katanya.
Encik Masagos turut meluahkan harapan agar kerjasama erat antara kedua-dua negara dan rakyatnya terus mekar dalam tahun-tahun mendatang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg