HAK pas kerja dua lelaki yang dikaitkan dengan penyedia ambulans Persatuan Ambulans Singapura (SAA) akan digantung kerana gagal membayar gaji sekurang-kurangnya 15 pemvaksin Covid-19 dan jururawat selama hampir tiga bulan.
Pemvaksin dan jururawat tersebut bertugas di pusat vaksinasi Kelab Masyarakat Bukit Timah.
Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Perikatan Tiga Pihak bagi Penyelesaian Pertikaian (TADM) semalam berkata mereka akan mengambil tindakan ke atas Encik Eugene Tok Yong Fa dan pengarah SAA Whey Zhen Hui serta perniagaan dan orang yang dikaitkan dengan mereka, lapor The Straits Times (ST).
Majikan yang digantung hak pas kerjanya tidak boleh menggajikan pekerja menerusi sistem pas kerja hingga penggantungan itu ditiadakan.
Pencarian dalam rekod Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (Acra) menunjukkan Encik Tok seorang pengarah Perkhidmatan Ambulans Kecemasan Singapura dan pengarah Perkhidmatan dan Latihan Penjagaan Perubatan Kecemasan Singapura yang kini tidak wujud lagi.
MOM dan TADM berkata mereka kini sedang menyiasat Dr Tan Ying Zhou, seorang mantan pengarah SAA. Pencarian di Acra menunjukkan beliau berhenti menjadi pengarah pada 10 Julai dan pemegang saham pada 11 Julai.
TADM telah membantu 15 pemvaksin terjejas yang memfailkan tuntutan dengan mereka dan Tribunal Tuntutan Kecil sejak Julai lalu.
MOM juga telah menetapkan tarikh akhir Sabtu lalu bagi SAA memberi respons mengenai isu bayaran gaji itu.
"Memandangkan SAA tidak bekerjasama dan terus tidak membuat bayaran selepas lebih dua bulan didekati, TADM dan NTUC (Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan) bekerja di balik tabir untuk membantu 15 pemvaksin yang terjejas," menurut kenyataan mereka.
Penyedia penjagaan kesihatan privet Parkway Shenton telah mendapatkan khidmat agensi pengrekrutan tenaga manusia Megamanpower untuk mendapatkan pekerja bagi usaha vaksinasi sehingga awal Jun lalu.
Megamanpower kemudian mendekati SAA untuk menyediakan paramedik dan jururawat kepada pusat itu.
Pada 7 Jun, beberapa pekerja yang didekati menerusi aturan itu menerima mesej dalam kumpulan chat Telegram dari Encik Tok yang memberitahu mereka bahawa kontrak mereka akan dibatalkan keesokannya.
Pada Julai, MOM berkata ia akan menjalankan siasatan selepas ia menerima sembilan aduan mengenai gaji yang tidak dibayar daripada orang yang bekerja sebagai pemvaksin dan jururawat.
Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng, berkata Parkway Shenton, yang mengendalikan pusat vaksinasi itu, akan memberikan "bayaran muhibah" kepada 15 pekerja yang telah memfailkan tuntutan.
Ini meskipun Parkway Shenton telah memberikan bayaran gaji pekerja tersebut kepada subkontraktor, kata Encik Ng.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg