Hakim Christopher Tan Pheng Wee telah dilantik sebagai Ketua Hakim Mahkamah Negara oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam, dan akan mengambil alih daripada Hakim Vincent Hoong Seng Lei mulai 1 Januari 2026.
Hakim Tan akan mengetuai Mahkamah Negara serta bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pengurusan dan kepimpinan institusi tersebut, kata Mahkamah Negara dalam satu kenyataan pada 1 Oktober.
Peranan Hakim Hoong sebagai Ketua Hakim Mahkamah Negara, yang dipegang sejak 1 April 2020, serta sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, akan berakhir pada 31 Disember, lapor The Straits Times (ST).
Mengulas mengenai peralihan itu, Ketua Hakim Sundaresh Menon, berkata:
“Saya amat berterima kasih kepada Hakim Hoong yang telah memimpin Mahkamah Negara dengan cemerlang.”
Beliau menambah Hakim Hoong juga bersemangat memperjuangkan inovasi teknologi, setelah melakukan “tugas cemerlang bagi memastikan keadilan dapat diakses oleh rakyat”.
“Beliau mendapat setinggi-tinggi penghargaan daripada saya atas khidmat cemerlang beliau kepada kehakiman dan perkhidmatan awam secara lebih luas,” kata Ketua Hakim Menon, yang turut mengalu-alukan Hakim Tan sebagai Ketua Hakim Mahkamah Negara baru.
“Saya yakin Mahkamah Negara akan terus memajukan misinya ke arah keadilan yang boleh diakses melalui penghakiman bermutu, penyelesaian pertikaian yang wajar, dan perkhidmatan mahkamah yang inovatif di bawah kepimpinan (Hakim Tan).”
Menurut Mahkamah Negara, sepanjang lima tahun berkhidmat sebagai Ketua Hakim Mahkamah Negara, Hakim Hoong telah memimpin institusi tersebut melalui pandemik Covid-19.
Ini termasuk memperkenalkan pelbagai langkah untuk meningkatkan daya tahan operasi Mahkamah Negara, dan membentuk semula cara pendengaran kes dijalankan.
Beliau turut memperkenalkan pelan strategik lima tahun yang diperbaharui bagi memastikan Mahkamah Negara terus komited menyediakan keadilan yang boleh diakses.
“Hakim Hoong telah memperjuangkan usaha meningkatkan akses kepada keadilan serta memajukan pentadbiran dan pelaksanaan keadilan,” tambah Mahkamah Singapura dalam kenyataannya.
“Hakim Hoong turut menekankan kepentingan pembangunan profesional pegawai kehakiman dan pentadbir mahkamah bagi memastikan mereka sentiasa dilengkapi dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk memberikan perkhidmatan lebih baik kepada pengguna mahkamah.”
Sebelum pelantikan beliau sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 2023, Hakim Tan secara serentak memegang peranan Pendaftar Mahkamah Negara (mulai Mei 2020) dan Timbalan Ketua Hakim Mahkamah Negara (mulai Jun 2022).
Beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 1 Ogos, dengan bidang tumpuan termasuk pembinaan, pembuatan kapal, kewangan, perbankan, kes komersial rumit, kes muflis, fitnah, kecuaian profesional, dan perbicaraan jenayah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg