PERANAN Pertubuhan Antara Agama (IRO) dalam memupuk keharmonian agama di Singapura, tidak harus dipandang mudah disebabkan sekitaran dunia hari ini yang boleh menjejas perpaduan agama, kata Presiden Halimah Yacob.

"Kita tidak boleh mengecilkan usaha yang IRO lakukan kerana usaha mereka penting. Kita lihat banyak kejadian berlaku di sekeliling di mana isu-isu mengenai agama dan bangsa berpotensi menjadi isu-isu yang dapat dilaga-lagakan dan menimbulkan konflik,'' jelas Presiden Halimah, yang berkata demikian kepada pemberita selepas menjamu sekitar 25 wakil IRO di Istana semalam.

Beliau mengambil contoh kejadian terbaru apabila seorang rakyat Singapura, Megat Shahdan Abdul Samad, 39 tahun, yang menggelar dirinya Abu Uqayl, yang terpapar dalam sebuah video ISIS.

Dalam video Bahasa Inggeris itu, Abu Uqyl mengajak "mereka yang beriman" menyertai kumpulan itu di Timur Tengah dan pergi ke Marawi, di Selatan Filipina bagi berjuang demi ISIS.

"Mufti kita (Dr Mohamed Fatris Bakaram) dengan tepat menyatakan video itu menyalahtafsir agama Islam dengan menggalak orang ke arah pengganasan,'' jelas Presiden Halimah.

Lantaran itu, ia amat penting bagi kita terus mempromosikan keharmonian agama dan bangsa serta mendapatkan orang ramai menghormati agama yang berbeza.

"Peranan pemimpin agama IRO amat penting demi mengekalkan keamanan di Singapura jika sesuatu berlaku di Singapura,'' tambah Presiden Halimah.

Sementara itu, IRO akan membentuk cabang wanita dan belia bagi mendekati lebih ramai lapisan masyarakat mengongsi kepentingan mesej keharmonian agama.

Ia juga merancang mengadakan lebih banyak kegiatan di estet-estet perumahan hasil kerjasama dengan institusi-institusi keagamaan, menurut Presiden Majlis IRO, Encik Kesavapany Krishnasamy.